Thursday, May 17, 2012

MAJLIS PEGUAM - PERANAN & FUNGSI
 
Majlis Peguam adalah kumpulan peguam yang dilantik menerusi proses pemilihan untuk mentadbir hal ehwal majlis berkenaan dalam menjalankan fungsi atau kuasa majlis berkenaan. Ahli Majlis Peguam dipilih menerusi pemilihan tahunan berdasarkan seksyen 50 akta terbabit. 

Sementara itu Seksyen 42 akta yang sama pula menggariskan tujuan dan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada Majlis Peguam Malaysia. Antara tujuan dan fungsi umum Majlis Peguam Malaysia yang dinyatakan di bawah seksyen 42 itu termasuklah, antara lain, pertama, untuk mempertahan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau kepentingan ahlinya. 

Ini hendaklah dilakukan tanpa terpengaruh oleh perasaan takut atau kasihan. Kedua, untuk menyatakan pendapatnya atas perkara membabitkan perundangan dan pentadbiran dan amalan undang-undang di Malaysia. 

Tugas ini hanya boleh dijalankan sekiranya diminta untuk dilakukan dan ketiga, untuk memlindungi dan menolong orang ramai dalam semua perkara yang menyentuh, berkaitan atau bersampingan dengan undang-undang. 

Ini antara tiga tugas umum Majlis Peguam Malaysia yang tidak berkaitan secara khusus kepada peguam. Walaupun terdapat pelbagai tujuan dan kuasa Majlis Peguam Malaysia yang dijelaskan oleh peruntukan terbabit,  hanya tiga yang disebut kerana ketiga-tiga ini adalah tujuan dan kuasa umum, manakala yang lainnya merujuk kepada kebajikan peguam dan juga hal berkaitan pendidikan undang-undang.

Melalui pentadbirnya Majlis Peguam, Bar Malaysia banyak membuat kenyataan dan menjalankan aktiviti dan membuat kenyataan-kenyataan yang pada ketika-ketikanya disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai mewakili parti-parti politik tertentu.


Walaupun ada kalangan ahli Majlis Peguam hanya menganggap ini satu persepsi, saya tidak fikir persepsi ini harus dibiarkan berterusan. Apatah lagi sekiranya orang awam yang tidak berpendidikan undang-undang pun dapat melihat dengan jelas mengenai wujudnya jurang perbezaan pendapat yang besar di kalangan ahli Bar Malaysia itu sendiri.

Majlis Peguam hendaklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendatangkan persepsi begini. Sekiranya ini dibiarkan berlarutan, ia sudah tentu mengancam kedudukan Bar Malaysia sebagai badan bebas. Ini sudah mula berlaku. Oleh itu, Majlis Peguam hendaklah menjadikan Bar Malaysia sebagai badan peguam yang bukan sahaja bebas, tetapi dilihat bebas oleh semua pihak.

Sesungguhnya, sebagai sebuah organisasi yang terdiri daripada cerdik pandai undang-undang, Bar Malaysia sudah tentu mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Mereka mempunyai suara yang besar. 

Inilah peri pentingnya badan ini menjadi bebas serta mengekalkan identiti sebagai badan yang menjaga profesion undang-undang. Tidak berunsur politik. Dalam situasi negara kita yang setiap perkara mempunyai potensi politik, Majlis Peguam hendaklah bijak mendepani situasi ini. Majlis Peguam menggalas tanggugjawabnya. 

Sebenarnya profesion lain juga boleh terlibat dalam politik. Saintis juga. Saintis boleh terlibat, dalam politik sekiranya mereka tidak bijak. Perkara-perkara melibatkan nuklear dan seumpamanya adalah berpotensi untuk menjadi isu politik. Tetapi, keadaan kita di Malaysia jelas menunjukkan profesion lain tidak begitu ghairah dengan isu politik. 

Bagi mengasingkan diri daripada politik, ada baiknya Majlis Peguam tidak mendekati debat politik. Seharusnya juga memperbetulkan ‘alignment’ perjuangan kepada perkara dasar yang disebut di dalam Akta Profesion Undang-Undang, terutamanya hal-hal berkaitan undang-undang dan pentadbiran keadilan, serta juga kebajikan para ahli. 

Penulis ialah Prof Madya di Kuliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

(Sumber: BHarian 15/05/2012)
  

Wednesday, May 16, 2012

DAP MAHU PUJUK TUNKU AZIZ KEKAL PARTI

SHAH ALAM - DAP tidak mahu Naib Pengerusinya, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim keluar parti walaupun berbeza pendapat secara terbuka dengan pemimpin-pemimpin kanannya.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, beliau akan cuba mengadakan pertemuan dengan Tunku Abdul Aziz bagi membincangkan perkara tersebut dan meminta agar mengubah keputusannya.
Tunku Abdul Aziz mengumumkan pendiriannya malam tadi.

"Walaupun beliau telah berbeza pendapat secara terbuka, kami tidak ingin beliau meninggalkan parti dan sebaliknya ingin beliau terus menjadi Naib Pengerusi DAP.

"Saya harap kita boleh menyelesaikan apa-apa perbezaan pendapat secara dalaman dan dengan semangat kesetiakawanan.

"Saya akan menghubungi beliau untuk berjumpa dan berbincang dengannya atas harapan beliau akan bertukar fikiran dan tidak keluar dari parti," kata Guan Eng dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Guan Eng menambah, apabila mengumumkan peletakan jawatannya daripada DAP, Tunku Abdul Aziz telah menyatakan “perbezaan pendapat” sebagai sebab, atas perselisihan dengan pendirian rasmi DAP untuk menyokong Bersih 3.0 dan menyertai protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih, bebas dan adil.

Sebaliknya kata beliau, DAP telah memberi ruang yang luas dan tempat untuk Tunku Abdul Aziz untuk kekal sebagai Naib Pengerusi Kebangsaan serta boleh menerima perbezaan pendapat dengan DAP atas usaha Bersih untuk membuat protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka untuk menuntut pilihan raya bersih.

Guan Eng berkata, mengikut laporan media Tunku Abdul Aziz telah menyatakan bahawa akibat perselisihan pendapat secara terbuka dengan DAP, beliau sendiri tidak ingin dicalonkan semula sebagai senator Pulau Pinang selepas tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Mei ini.

"Dan juga menyatakan bahawa beliau tidak diberhentikan daripada jawatannya dalam Dewan Negara oleh DAP. Tunku Aziz juga telah mencadangkan kepada pimpinan parti supaya mengambil tindakan tatatertib yang setimpal dengan ahli-ahli lain kerana menyuarakan pendapatnya yang berbeza. Oleh sebab tindakan tatatertib tidak diambil, beliau mengambil keputusan untuk letak jawatan daripada DAP untuk mengelakkan malu," katanya lagi.

Sambil menyatakan kedukacitaan terhadap pengumuman Tunku Abdul Aziz, Guan Eng berkata, DAP percaya dalam prinsip kebebasan untuk bersuara dan setiap ahli dan pemimpin mempunyai hak untuk berbeza pendapat.

Malah katanya, beliau  tidak setuju bahawa tindakan tatatertib harus diambil ke atas Tunku Abdul Aziz kerana berbeza pendapat dengan parti atas hak Bersih untuk melakukan protes “duduk-bantah” di Dataran Merdeka.

"Sememangnya terdapat rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli parti di setiap tahap kerana beliau telah mengambil pendirian terbuka yang bertentangan dengan parti dalam isu Bersih sebelum dan juga selepas perhimpunan pada 28 April.

"Namun begitu, jika Tunku berhak untuk menyuarakan pendapatnya yang berbeza, hak parti untuk menyatakan pendirian dalam isu dasar yang asas ini harus dihormati juga.

"Parti tidak sesekalipun mengambil apa-apa tindakan terhadap Tunku kerana menyuarakan perbezaan pendapatnya atau pun meminta agar beliau keluar atau letak jawatannya," katanya lagi.


(SinarHarian 16/05/2012)


KD: Tak sangka rupa-rupanya dalam politik pun ada sesi pujuk memujuk.

TUNKU AZIZ TEGAS DENGAN PENDIRIAN KELUAR DAP

KUALA LUMPUR 15 Mei - Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) menegaskan, beliau tidak akan kembali kepada parti itu biar pun dipujuk oleh sesiapa juga.

Sambil menyifatkan tindakan meninggalkan DAP dilakukan secara bermaruah, beliau berkata, keputusan tersebut adalah muktamad.

"Saya cuma kata perhimpunan Bersih 3.0 adalah aktiviti haram, mengapa saya perlu dikecam dan sekarang bila saya buat keputusan untuk tinggalkan parti, baru nak kecoh minta saya kembali.

"Tidak kira siapa juga yang berhasrat mahu memujuk saya, keputusan saya adalah muktamad. 

Saya keluar secara bermaruah dan tidak sesekali terfikir untuk kembali," katanya.

(UtusanMalaysia 16/05/2012)


KD: Tahniah Tunku Abdul Aziz kerana telah membuktikan beliau sememangnya seorang yang berpendirian dan tegas. Kewajaran tindakan beliau juga seharusnya menjadi contoh kepada pemimpin lain.
DAP TIDAK SESUAI UNTUK ORANG MELAYU

KUALA LUMPUR: DAP tidak sesuai untuk orang Melayu kerana parti itu bersikap pilih kasih dengan mengutamakan kepentingan satu kaum, selain tidak mengiktiraf sumbangan pemimpin Melayu.

Malah, bekas ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman mendakwa parti itu juga tidak memberi peluang kepada pemimpin Melayu untuk menyatakan hak dan pendapat mereka.

Bekas Setiausaha Organisasi DAP bahagian Jelutong juga berkata mana-mana pemimpin yang tidak sehaluan atau menentang akan dicantas oleh pemimpin tertinggi parti.

“Apa yang diputuskan oleh parti, kita terpaksa setuju walaupun tidak bersependapat dengannya. Pemimpin Melayu tidak diberi peluang untuk menyatakan hak,” katanya ketika mengulas keputusan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang keluar dari parti itu, kelmarin, berikutan tiada persefahaman dengan kepimpinan tertinggi parti terbabit.

Mohamed Razali dipecat daripada DAP pada 6 Julai tahun lalu selepas pendedahannya mengenai penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang pada Mei 2011.

Berikutan itu, Mohamed Razali menyifatkan keputusan Tunku Abdul Aziz keluar DAP bukan sesuatu yang mengejutkannya, malah ia sudah dijangka lebih awal.

Beliau berharap keputusan Tunku Abdul Aziz itu akan menyedarkan lebih ramai pemimpin dan ahli Melayu dalam DAP mengenai perjuangan parti yang didominasi kaum Cina itu.

“Saya percaya, mereka akan sedar bahawa DAP bukan parti yang demokrasi untuk semua kaum, sebaliknya hanya mengutamakan kepentingan satu kaum saja,” katanya yang mengakui membuat kesilapan ketika menyertai parti itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M Manoharan meminta Tunku Abdul Aziz supaya mempertimbangkan semula keputusannya keluar parti.

“Perjuangan masih banyak belum selesai. Walaupun DAP seolah-olah nampak hanya mengutamakan satu kaum, pada hakikatnya ia adil,” katanya yang pernah digantung keahlian selama enam bulan kerana mengeluarkan kenyataan, Jalur Gemilang perlu ditukar, September tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras DAP Melayu, Zulkifli Mohd Noor yang kini berada di luar negara akan membuat kenyataannya selepas pulang. (BHarian 16/05/2012)


KD: Nampaknya kebelakangan ini terlalu banyak kemelut yang melanda DAP. Apakah ini menunjukkan parti ini semakin goyah atau kontroversi yang melanda DAP membolehkan rakyat berfikir semula..

“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Selamat Hari Guru 
kepada semua warga pendidik..


Terima kasih, cikgu!!

Tuesday, May 15, 2012

HUKUM HUDUD TIADA DALAM BUKU JINGGA – DSAI



PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada Isnin memutuskan untuk berpegang kepada persetujuan yang dicapai dalam buku Jingga di mana pelaksanaan hukum hudud bukan merupakan sebahagian polisi bersama mereka walaupun terdapat perbezaan pendapat antara PAS dan DAP dalam isu berkenaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun terdapat perbezaan ideologi antara PAS dan DAP mereka akan tetap berpegang kepada persetujuan yang dibuat dalam buku Jingga pada 28 September lalu.

“Kita masih terikat dengan kenyataan pada 28 September, matlamat utama kita adalah penambahbaikan ekonomi, sebarang perubahan tertakluk kepada Perlembagaan dan polisi bersama yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PR selama hampir tiga jam di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Isnin.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu menghormati perbezaan ideologi dan agama yang terdapat dalam PR kerana ada isu yang lebih penting iaitu menuntut pilihan raya bersih dan adil adalah lebih penting ketika ini berbanding pelaksaan hukum hudud.

“Kita sudah membuat kenyataan dalam isu ini sejak 28 September lalu. Kita tetap berpegang teguh mempertahankan kenyataan bersama yang telah kita persetujui seperti mana yang terkandung dalam buku Jingga.

“Dalam masa yang sama kita menghormati perbezaan ideologi dan perbezaan agama yang terdapat dalam PR. Kita mahu selesaikan isu ini bukan melalui media tetapi dengan perbincangan dalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa, ketiga-tiga parti telah bersetuju bahawa sebarang perubahan polisi mesti mendapat persetujuan bersama secara konsensus.

“Ketiga-tiga parti telah bersetuju dalam isu pelaksanaan hudud. Bagi pihak kami (DAP), sangat jelas bahawa ia tidak termasuk dalam persetujuan bersama dalam Buku Jingga tetapi kami menghormati pendirian PAS dalam isu ini,” katanya.






KD: Oooo..begitu ceritanya.. Tapi, semacam pelik dan keliru bagaimana isu ini terus menjadi pertikaian pemimpin2 dalam parti pakatan sendiri.. adakah masih ada antara mereka yang masih kurang jelas atau tidak bersefahaman dalam membuat keputusan.. 
AKADEMI UNDANG-UNDANG: KERAJAAN SETUJU CADANGAN BENTUK ORGANISASI BARU PEGUAM - NAZRI AZIZ

KUALA KANGSAR: Kerajaan bersetuju dengan tuntutan golongan peguam yang mahu membentuk satu organisasi baru bagi mewakili mereka mempertahankan profesion, kebajikan dan kepentingan guaman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata golongan peguam itu boleh membentuk organisasi itu atas nama persatuan atau agensi lain yang baru seperti Akademi Undang-undang dengan menggunakan pendekatan lain. -BERNAMA