Tuesday, June 12, 2012

DIPLOMAT ASING SERTAI BERSIH 3.0?


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau bimbang dengan laporan pembabitan diplomat asing pada demonstrasi jalanan seperti demonstrasi yang disokong oleh pembangkang di ibu negara pada 28 April lalu.

Sama ada pembabitan itu benar-benar untuk mengumpul maklumat atau sebaliknya, katanya ia pasti bukan satu langkah yang bijak.

Katanya, beliau bimbang bahawa langkah sedemikian mungkin membawa kepada beberapa persepsi negatif.

"Lebih buruk lagi, diplomat mungkin terlibat atau cedera dalam kejadian malang memandangkan keadaan demonstrasi jalanan yang tidak terkawal.

"Sekiranya ia berlaku, keadaan mungkin agak rumit, bukan sekurang-kurang daripada segi dipersalahkan pembahagian dan tanggungjawab." 

Dipetik Bernama, Anifah berkata, diplomat harus sentiasa sedar sensitiviti dengan cara negara di rantau ini mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain.

Sumber: Sinar Harian
TANGGUH TUNAI HAJI, BERI LALUAN PRU-13 - PAS





KUALA LUMPUR 11 Jun - Semua ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya diminta menangguh ibadah haji bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Berita itu disiarkan oleh selangorku.com bertarikh 5 Jun lalu yang dipetik oleh http://www.rbfonline. net hari ini.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seperti yang dipetik menerusi laporan berita itu berkata, Pas menjangkakan pilihan raya umum akan datang diadakan pada musim haji iaitu selepas bulan Ramadan antara September hingga Oktober.

Kata Tuan Ibrahim, penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana Pas memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa berlangsungnya pilihan raya umum tersebut.



"Inilah masalah yang dihadapi negara kita berhubung tarikh pilihan raya menyebabkan rakyat susah untuk membuat perancangan. Kalau ikut pemantauan kita, memang dijangkakan pilihan raya bakal diadakan pada musim haji tahun ini.


"Kalau berlaku demikian, kita minta ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sama ada sebagai calon atau wakil calon atau agen parti untuk menangguh ibadah haji ke tahun hadapan,'' kata Tuan Ibrahim seperti dipetik menerusi laporan berita itu.

Tuan Ibrahim juga berkata, jika pilihan raya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk ke Mekah.

''Kita melahirkan rasa dukacita terhadap perkara ini. Takkan kita nak salahkan orang ramai untuk menunaikan ibadah haji? Kerajaan sepatutnya lebih awal tetapkan tarikh, supaya tidak mengganggu perkara-perkara lain,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Online


KD: Tarikh pilihan raya belum diketahui tetapi Pas sudah ada perancangan awal. Tetapi kali ini melibatkan musim haji. Mungkinkah ia berlaku?

Monday, June 11, 2012

20 AKAUN INDUK: APA CERITA SEBENAR??

Semalam…
MUHYIDDIN GESA ANWAR PERJELAS
Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan segera dakwaan berhubung pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid, 13 tahun lepas.
Timbalan Perdana Menteri berkata dakwaan berkenaan bukan perkara kecil dan dengan itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan perkara berkenaan kepada rakyat.
Hari ini…
ANWAR PULA CABAR MUHYIDDIN
Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan aset dan akaun miliknya jika mahukan penjelasan beliau berkenaan dakwaan  berhubung pemilikan 20 akaun induk, membabitkan harta RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, 13 tahun lepas.
Tegas Anwar, beliau bersedia untuk menyerahkan segala dokumen kepada pihak berwajib tetapi hanya akan dilakukan jika Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyahut cabarannya.
Jadi, apa cerita sebenarnya?? Rakyat pasti menunggu perjelasan yang telus lagi benar dari pemimpin2 ini. Sama2lah kita tunggu.
ISU PTPTN DI UNISEL SUDAH SELESAI, PINJAMAN RM3 JUTA SETIAP PENGAMBILAN - ISMAIL

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Ismail Mohamed Said pada Isnin berkata isu penyaluran pinjaman pendidikan kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) telah pun selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Ismail berkata, isu tersebut telahpun selesai selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju meneruskan pemberian pinjaman kepada pelajar-pelajar di dua buah universiti di bawah teraju kerajaan negeri Selangor itu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, pembatalan pembekuan itu turut dilakukan selepas Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad memaklumkan pinjaman PTPTN amat diperlukan oleh para pelajarnya dalam meneruskan pengajian.

Jelas Ismail, PTPTN membelanjakan RM3 juta kepada kira-kira 5,000 pelajar di Unisel untuk setiap pengambilan semester baru bagi menampung yuran pengajian dan kos sara hidup.

Ini bermakna sehingga tamat pengajian, PTPTN memberikan pinjaman sebanyak RM240 juta kepada pelajar-pelajar terbabit. 

KERAJAAN PERSEKUTUAN DIYAKINI MAMPU LAKSANA BR1M KEDUA

Kerajaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, ia berikutan pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Katanya, biarpun krisis ekonomi sedang melanda negara-negara Barat terutamanya di Eropah, namun Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan yang baik untuk suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pada suku pertama tahun ini, negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.7 peratus. Ini merupakan perkembangan yang baik memandangkan kemelut ekonomi yang melanda dunia kini.

"Justeru, cadangan pemberian BR1M pusingan kedua adalah langkah tepat bagi meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Ibu Bapa anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) Petaling Jaya Utara, di sini hari ini.

Pada majlis di Gelanggang Bola Keranjang Jalan SS3 itu, Donald Lim turut berkesempatan beramah mesra dengan kira-kira 100 warga emas.

Donald Lim yang juga Pengerusi MCA Selangor berkata, Kementerian Kewangan sedang mengkaji dan meneliti cadangan berkenaan namun sebarang keputusan terletak pada Kabinet.

Sumber: Utusan Malaysia

GAJI DAN PANGKAT PUNCA BUKAN MELAYU KURANG MINAT SERTAI SEKTOR AWAM - CUEPACS


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, gaji dan pangkat merupakan antara sebab utama mengapa bukan Melayu kurang berminat menyertai sektor awam.

Beliau berkata, bukan Melayu khususnya kaum Cina mahukan gaji yang tinggi dan terus menjawat jawatan bertaraf pegawai bila menyertai sektor awam. Malah, golongan bukan Melayu melihat sektor awam sebagai tempat yang agak terhad bagi mereka untuk kenaikan pangkat dan gaji.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai berkata, golongan Cina tidak berminat menyertai sektor awam kerana tidak memahami skop perkhidmatan dan mempunyai pandangan negatif terhadap sektor itu. Beliau berkata, kerajaan sering menggalakkan golongan bukan Melayu untuk menyertai sektor awam dengan pelbagai usaha seperti mengadakan ceramah kerjaya, pameran dan sebagainya tetapi masih tidak berkesan.

Justeru, beliau mencadangkan adakan usaha untuk membawa bukan Melayu melawat jabatan kerajaan di seluruh Malaysia terutamanya yang melibatkan pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya untuk mereka memahami skop perkhidmatan awam itu sendiri.

Manakala, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, sejarah merupakan antara faktor bukan Melayu tidak berminat menyertai sektor awam. Katanya, pada zaman penjajahan British lagi rakyat sudah dibahagikan pengkhususan pekerjaan mengikut kaum, iaitu Melayu memasuki sektor awam, Cina dengan kegiatan ekonomi dan India terlibat dengan pertanian serta perladangan.

Sumber: Utusan Malaysia
BERJUDI DI KALANGAN REMAJA SEMAKIN POPULAR DENGAN PENINGKATAN KASINO DI INTERNET

PETALING JAYA: Golongan yang berjudi kini terdiri daripada golongan yang lebih muda dengan jumlah mereka yang mencuba nasib berjudi di internet semakin meningkat.

Selain perjudian di kasino dalam talian, terdapat juga penjudi muda serendah usia 13 yang bertaruh keputusan perlawanan bola sepak di sekolah.

Presiden Pusat Pemulihan Penjudi Malaysia, David Chiang berkata golongan muda yang berjudi menunjukkan 'trend' membimbangkan, dengan sebahagian daripadanya sudah menjadikannya sebagai tabiat ketika berumur 15.

Chiang berkata ketika masalah perjudian remaja semakin meluas di seluruh negara, satu lagi trend yang membimbangkan ialah kanak-kanak sekolah yang meminjam wang daripada Ah Long untuk membayar hutang perjudian mereka.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong berkata beliau telah menerima enam kes masalah perjudian yang melibatkan mereka yang berusia antara 16 dan 18 tahun, berjumlah RM200, 000 setakat tahun ini.

Chong berkata beliau percaya hanya sebahagian kecil kes-kes seperti ini yang mendapat perhatian, sambil menambah belia telah bertemu remaja yang berada dalam masalah serius dan perlukan bantuan.


Sumber: Mstar