Wednesday, August 21, 2013

PTPTN: SAM1M  TIDAK SETUJU GUNA SISTEM RUJUKAN MAKLUMAT KREDIT BERPUSAT

KUANTAN - Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M) tidak bersetuju dengan pendekatan kerajaan untuk menggunakan sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka.

Ketua Penerangan SAM1M, Muhammad Faiz Hashim berkata, jika tindakan itu dilakukan, anak muda akan menerima kesan dan tekanan yang lebih teruk selain sedang bergelut di dalam survival kehidupan serta kos sara hidup di bandar yang kini semakin tinggi.

"Sudahlah anak muda tidak mampu memiliki rumah kerana kos rumah yang terlalu tinggi, sekarang mahu menyenaraihitamkan pula mereka. Tindakan ini seolah-olah menindas anak muda dan kesan di sebaliknya mereka akan terus menjauhi kerajaan.

"Banyak kaedah lain yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan permasalahan ini umpamanya pihak kerajaan berbincang dengan majikan tempat peminjam bekerja dan membuat potongan yang paling minimum dan tidak membebankan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Faiz berkata, kerajaan perlu bijak menyelesaikan sesuatu masalah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Beliau berkata, pemerintah yang bijak bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah malah berkemampuan menarik sokongan orang muda agar lebih meyakini mereka.

"Kerajaan seharusnya menarik lebih ramai sokongan anak muda, bukannya menjauhkan lagi dan isu PTPTN adalah isu yang dekat dalam diri anak muda," katanya. - Utusan Online
PTPTN: PEMUDA UMNO TOLAK SISTEM CCRIS

KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sepatutnya kerajaan mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang enggan melunaskan hutang PTPTN mereka dan bukannya menyenaraihitamkan.

Malah, beliau berkata, keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu dengan mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal berasaskan kepada situasi semasa peminjam.

''Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan hutang kad kredit atau kenderaan kerana tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihan peribadi,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman dari mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Khairy berkata, harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan memandangkan kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi.

''Keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma mahupun ijazah (pada masa ini) adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,'' ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, bilangan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik adalah kecil.

''(Oleh itu) tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi tanggapan negatif kepada segala gerak kerja PTPTN di dalam memastikan anak muda yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke peringkat tinggi dibantu,'' katanya lagi. - Utusan Online

PTPTN: KABINET TOLAK CADANGAN SENARAIKAN DALAM CCRIS

KUALA LUMPUR - Kabinet hari ini membuat keputusan menolak cadangan untuk menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS).
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dalam entri terbaru Facebooknya turut berkongsi makluman itu.- Utusan Online