Friday, May 11, 2012

ISU HUDUD: KARPAL BIDAS HADI
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tidak berhak bercakap bagi pihak pakatan pembangkang dengan menyatakan pembangkang akan melaksanakan hukum hudud jika memerintah negara.
Pengerusi DAP, Karpal Singh juga berkata, Hadi memang selalu berdolak-dalik dengan membuat kenyataan retorik tanpa sebarang justifikasi.

 “Adalah dikesali, Hadi kebelakangan ini membuat kenyataan yang kemudian ditarik balik. Baru-baru ini, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan akan dipinda untuk menggantikan Islam sebagai agama rasmi dengan Addin, walaupun Perlembagaan secara khusus memasukkan Islam sebagai agama rasmi.

“Kemudian beliau menyatakan tidak membuat cadangan sedemikian. Saya berharap Hadi berhenti daripada membuat kenyataan yang akan menjejaskan prospek pakatan untuk membentuk kerajaan dan memenangi lebih daripada lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya lalu,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Karpal juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


KD: walaupun dalam pakatan yang sama, tapi isu ini terus menjadi perdebatan dan pertikaian dari parti pembangkang ini.. entah bila sampai bila isu ini akan berterusan..
DAKWAAN FERNANDEZ ANCAM EKONOMI NEGARA

Tuduhan Malaysia tak selamat bagi pekerja asing tak berasas

KUALA LUMPUR: Dakwaan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez bahawa Malaysia tidak selamat untuk pekerja asing dan mengamalkan diskriminasi boleh mengancam ekonomi negara.

Sebagai negara yang masih bergantung kepada pekerja asing, ia boleh memberi impak negatif kepada pelbagai industri, selain membantutkan industri baru, sekali gus meningkatkan penggangguran dan menyebabkan ekonomi tidak berkembang.

Berikutan itu, Pengarah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed, menyelar kenyataan Fernandez yang disifatkan berbahaya dan bercanggah dengan dasar serta undang-undang negara.

Beliau berkata, tuduhan itu tidak berasaskan fakta kerana daripada aspek perlindungan pekerja asing, pihak berkuasa sentiasa bekerjasama memastikan majikan yang ingkar dan melakukan kesalahan dikenakan tindakan undang-undang.


KD: Agaknya apakah reaksi Irene Fernandez apabila kebanyakan pihak membantah/tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan beliau, berbanding menyokong.. pastinya semua ternanti-nanti respons balas dari beliau..
SULTAN JOHOR MURKA

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan kejadian pergaduhan empat warga asing yang bekerja di Singapura dengan pengawal peribadi rombongan Diraja Johor di Pulau Rawa, dekat Mersing, malam Jumaat lalu.

Baginda juga kesal dengan laporan akhbar The Straits Times di Singapura yang membesar-besarkan kejadian itu dengan menyiarkan laporan tidak tepat.
Sultan Ibrahim Iskandar 
“Saya marah... sepatutnya insiden ini tak berlaku. Mereka dalam keadaan mabuk dan membuat kacau mengganggu pengunjung lain di pulau itu.

 “Saya minta semua pihak tidak memperbesarkan cerita ini. Jika diambil kira, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang pada hari kejadian, tetapi saya nasihatkan supaya mereka pulang.

“Apa yang dilaporkan media asing itu tidak benar, sebaliknya mereka yang mabuk pada hari itu melakukan kekacauan terhadap pelancong lain, termasuk menceroboh bot peribadi saya dan berkelakuan biadab terhadap pengawal peribadi adalah punca sebenar,” titah baginda dalam pertemuan dengan media, di Istana Pelangi, di sini, semalam.

Baginda bertitah demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam mengenai kejadian yang membabitkan warga British, Perancis dan Jerman itu. Sebelum itu, The Straits Times melaporkan mereka mendakwa cedera selepas bergelut dengan pengawal peribadi kerabat diraja Johor.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda difahamkan mereka tiba di pusat peranginan itu kira-kira jam 11 malam sebelum mabuk dan mengganggu tetamu diraja yang mengadakan majlis dan menginap di pusat peranginan bersebelahan. 

Ada antara pelancong terbabit bersikap biadap dengan mengeluarkan kata-kata kesat kepada keluarga dan tetamu diraja sehingga mencetuskan ketegangan dan terjadi pergaduhan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim bertitah, baginda memaafkan serta mengalu-alukan kedatangan mereka bercuti serta melancong di Johor pada masa depan.

“Saya maafkan mereka dan lupakan perkara ini. Saya mengalu-alukan mereka bercuti dan menikmati keindahan pulau di negeri ini, tetapi jaga perlakuan. Di Johor, banyak pulau yang cantik dan indah serta terkenal di kalangan pelancong. Saya alu-alukan pelancong asing menikmati keindahan di sini, tetapi dengan menjaga tingkah laku dan menghormati undang-undang negara.

“Jangan dengan insiden yang berlaku hanya disebabkan satu dua pelancong asing yang tidak menjaga perangai, negeri ini digambarkan tidak selamat. Pada hari kejadian, doktor peribadi istana turut memberi pertolongan membantu seorang daripada mereka yang tercedera akibat terpijak terumbu karang,” titah baginda.



KD: Walaupun murka, namun Sultan Johor masih sudi untuk memaafkan mereka, itu sudah cukup baik untuk pihak akhbar tersebut. Harap perkara sebegini tidak berulang.. 

Thursday, May 10, 2012

IRENE FERNANDEZ PERLU DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS, SEGERA


Kenyataan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Irene Fernandez ketika ditemubual akhbar The Jakarta Post, baru-baru ini, bahawa Malaysia tidak selamat untuk pekerja Indonesia disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan mesti disiasat motif sebenar membuat kenyataan itu. Tindak-tanduk Pengarah Eksekutif Tenaganita itu bukan saja boleh mencemarkan nama baik negara, malah berniat jahat untuk mengeruhkan hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia. Kita tidak boleh menolak kemungkinan tindakan Fernandez itu didalangi parti politik tertentu yang sengaja mahu mencetuskan perasaan kurang senang lebih sejuta warga Indonesia yang mencari rezeki di negara ini.

Kita setuju dengan gesaan pelbagai pihak supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera bertindak memandangkan pemimpin NGO propembangkang itu sudah melampaui batasan dengan mencemarkan nama baik Malaysia di luar negara. Untuk membiarkan Fernandez terlepas tanpa tindakan boleh memberi mesej salah kepada pihak lain bahawa mereka juga bebas untuk mengeluarkan kenyataan mencemarkan nama baik Malaysia. 

Perbuatan ini boleh dianggap satu pengkhianatan dan hasutan supaya rakyat asing hilang kepercayaan terhadap Kerajaan Malaysia, sedangkan apa yang didakwa itu tidak berasas. Seperti ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Malaysia dan Indonesia sudah mempunyai mekanisme melalui memorandum persefahaman yang dipersetujui dan perkara ini sentiasa diberi perhatian kedua-dua pihak.

Isu berkaitan tenaga kerja ini juga pernah dibincang dalam mesyuarat ASEAN pada 12 dan 13 Januari 2007, yang mana Malaysia antara negara yang komited memastikan tiada diskriminasi terhadap tenaga kerja asing. Namun, kita tidak menafikan kemungkinan ada beberapa kes terpencil yang mana berlaku penderaan atau salah laku terhadap pembantu rumah, tetapi itu tidak boleh dijadikan gambaran menyeluruh bahawa Malaysia tidak selamat.

Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di Malaysia, Khairuddin Harahap sendiri turut menyangkal dakwaan Fernandez itu. Hakikatnya, kebanjiran warga Indonesia di negara ini jelas membuktikan Malaysia adalah ‘syurga’ rezeki. 

Buktinya sejak awal 1980-an lagi, tenaga kerja Indonesia tidak putus-putus memohon bekerja di sini. Mereka juga memohon untuk kembali ke negara ini selepas tamat kontrak atau balik ke kampung. Memandangkan kenyataan Fernandez itu fitnah dan pembohongan, pihak berkuasa harus bertindak cepat dan jangan biarkan isu ini berlarutan kerana ia boleh menjejaskan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi paling selamat di dunia.

Sumber: Minda Pengarang (BHarian 10/05/2012)


KD: Apakah tujuan, motif dan relevan kenyataan Irene Fernandez ini? Adakah beliau benar-benar mewakili pertubuhannya –Tenaganita yang sebelum ini begitu gah memperjuangkan nasib pekerja wanita? Jika begini caranya, beliau wajar dikenakan tindakan agar tiada lagi individu yang begitu berani dan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang hanya mengundang kemarahan serta kontroversi.

Wednesday, May 9, 2012

DR MAHATHIR KHUATIR PENARIKAN RUU KESALAHAN PILIHAN RAYA

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad khuatir denagn keputusan kerajaan untuk menarik balik Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 kerana ia akan menimbulkan banyak masalah.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri berkata, keputusan itu mungkin dibuat kerana kerajaan yakin mampu mengawal perkara yang mungkin akan menjejaskan proses pilihan raya, termasuk penipuan.

"Macam-macam akan berlaku dan kita tak dapat buat apa-apa. Pendek kata, jika ada penipuan yang besar, satu pun kita tak dapat lakukan.

Mungkin kerajaan yakin boleh kendalikan perkara ini, tapi jika saya jadi Perdana Menteri, saya kurang yakinlah kerana saya tak kuat,” katanya selepas melancarkan buku Towards World War III Scenario:The Dangers of Nuclears War oleh Profesor Ekonomi dan Pengarah Pusat Kajian bagi Globalisasi, Michel Chossudovsky di sini, semalam.


(BHarian10/05/2012)
UMNO PERLU BERUBAH AGAR UMNO TAK TERHAKIS

KUALA LUMPUR: Bakal mencecah usia ke-66 esok, UMNO perlu berani berubah bagi memastikan kekuatan parti itu tidak terhakis disebabkan perpecahan, rebutan kuasa dan amalan enggan memberi ruang kepada individu berwibawa menyertai perjuangannya.

Pandangan itu disampaikan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad yang khuatir masa depan parti itu terjejas tanpa perpaduan, selepas parti itu mengharungi pelbagai cabaran untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara selama ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sempena sambutan ulang tahun UMNO, tiba masanya kepemimpinan dan ahli UMNO diingatkan mengenai pentingnya kembali ke perjuangan asal dan mengutamakan kesetiaan kepada parti, bukan pemimpin atau individu tertentu.

ARAB SAUDI KECEWA DEMONSTRASI

Wisma Putra terima nota diplomatik kecam perhimpunan di Makkah

KUALA LUMPUR: Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra, melahirkan rasa kecewa dengan tindakan rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan haram di Makkah dan Madinah, 28 April lalu.

Dalam nota itu, Arab Saudi meminta kerajaan memastikan dan melarang rakyat Malaysia tidak lagi menyertai atau menganjurkan apa-apa perhimpunan di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata nota bertarikh 3 Mei lalu yang dihantar melalui kedutaannya di sini, turut meminta Malaysia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peristiwa sedemikian tidak berulang.

Anifah berkata, makluman yang diterimanya nyata menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan berhubung persepsi Arab Saudi terhadap Malaysia.

“Selama ini Arab Saudi menyifatkan rakyat Malaysia sebagai yang terbaik dalam mengerjakan ibadat haji setiap tahun, jadi dengan adanya tindakan (demonstrasi) ini, ia mencemarkan imej negara kita.

“Kita bimbang jika tindakan sedemikian tidak dikawal, kuota haji yang dikeluarkan Arab Saudi kepada Malaysia akan dikurangkan, malah tidak mustahil tidak diberi langsung,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pada 28 April lalu, sempena perhimpunan BERSIH 3.0, sekumpulan rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Arab Saudi dikatakan turut mengadakan perhimpunan di Makkah dan Madinah dengan memakai baju kuning serta memegang kain rentang ‘duduk bantah’.

Tindakan itu mendatangkan rasa kurang senang kerajaan Arab Saudi yang tidak mahu tanah suci dijadikan medan untuk perkara lain selain beribadat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan Arab Saudi amat sensitif terhadap sebarang bentuk demonstrasi, terutama selepas Revolusi Arab pada 2010 yang memberi kesan besar terhadap mereka.

“Mereka menekankan saban tahun betapa pentingnya umat Islam dari seluruh dunia supaya tidak membuat sebarang program lain selain haji dan umrah di tanah suci.

“Setiap tahun, mereka tidak pernah lekang memuji kita kerana jemaah kita patuh kepada peraturan ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan tiket penerbangan dan sumbangan kepada dua peserta Umrah Seringgit Sejuta Nilai (USSI) di sini, semalam.

Berhubung dakwaan pembangkang bahawa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perhimpunan haram seperti BERSIH 3.0 bersifat politik, Jamil Khir berkata, hukum agama tidak boleh dilihat mengikut kehendak masing-masing kerana ia dibuat menggunakan pendekatan ilmu dan kesepakatan.

“Majlis Fatwa bersidang dengan penuh kebebasan dan tuduhan (pembangkang) itu merendahkan martabat Majlis yang mana jawatankuasanya dipilih Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya.


(BHARIAN 09/05/2012)