Tuesday, March 5, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU: 'KIRAM SPRING' DI SABAH?

MANILA 4 Mac - Keadaan yang berlaku di Sabah pada waktu ini disifatkan sebagai 'Kebangkitan Kiram' setelah tercetusnya pertempuran di antara tentera setia kepada Jamalul Kiram III dan pasukan keselamatan Malaysia.

Jurucakap Sultan Sulu, Abraham Idjirani berkata, apa yang mereka lakukan kini adalah demi untuk rakyat Filipina.

“Ini merupakan kebangkitan Sultan Jamalul Kiram III. Kami melakukan ini atas nama rakyat Filipina," katanya semalam.

Abraham mendakwa, Sandakan turut menjadi ‘zon pertempuran’ malam tadi ketika konflik di Semporna menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, dia menafikan laporan yang mengatakan tentera Sulu yang diketuai Raja Muda Azzumudie Kiram menerima bantuan daripada pejuang-pejuang Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF).

Sebaliknya, dia berkata, tentera Sulu hanya dibantu oleh rakyat Filipina yang berada di Sabah.

Dia juga memberitahu enam anggota pasukan keselamatan Malaysia terbunuh dalam pertempuran di Semporna.

Abraham sebelum itu menggambarkan pertempuran yang berlaku sebagai ‘tidak dirancang dan merebak secara tiba-tiba’ dengan bantuan rakyat Filipina yang berada di Sabah.

Sehingga tengah hari semalam, dia mendakwa tentera Sulu sudah mengawasi seluruh Semporna.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemerintah Islam MNLF, Habib Mujahab Hashim berkata, bantuan dari Mindanao berjaya melepasi kawalan keselamatan Malaysia di Sandakan dan menyerang dua trak pasukan Tentera Malaysia.

Habib, yang mendakwa mendapat kebenaran Sultan Sulu untuk bercakap mengenai situasi di Sabah berkata, pasukan itu menggunakan bom jangka dalam serangan tersebut. – AGENSI/Utusan Online
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: UMNO TUNTUT TIAN CHUA MINTA MAAF

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bakal berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal menarik balik kenyataannya yang mengaitkan Umno dengan insiden pencerobohan di Sabah.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, menerusi notis tuntutan yang dihantar melalui Penasihat Undang-undang Umno, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, Ahli Parlimen Batu itu turut diminta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat.

"Segala tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas dan amat serius dengan niat jahat untuk memburukkan dan merosakkan reputasi dan imej Umno.

"Ia juga turut bertujuan untuk menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir Malaysia dan mempunyai imej awam yang baik," katanya pada Isnin.

Tindakan undang-undang itu dibuat terhadap Tian berikutan kenyataannya dalam KeadilanDaily.com pada 1 Mac lalu yang bertajuk 'Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno - Tian'.

"Notis dihantar kepada Tian Chua dengan menuntut beliau dalam masa tujuh hari bermula hari ini, 4 Mac untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu ini atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap Umno.

"UMNO tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklum balas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit, maka bermakna Tian Chua tidak menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah.

"Oleh itu, Umno akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap Tian Chua tanpa sebarang rujukan kepada beliau termasuklah untuk memfailkan injuksi bagi menghalang penerbitan lanjut berkaitan isu ini," katanya. -mStar
PENCEROBOHAN LAHAD DATU: MALAYSIA PERLU IKUT UNDANG-UNDANG ANTARABANGSA

KOTA BHARU: Malaysia perlu mematuhi undang-undang antarabangsa terutama Konvensyen Geneva 1949 berhubung insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah, kata seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Isnin.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM, Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh mencabuli undang-undang antarabangsa dengan mengambil tindakan sewenang-wenangnya terhadap soal pencerobohan.

Beliau berkata Malaysia tertakluk kepada perjanjian antarabangsa itu yang menetapkan tindakan terhadap pencerobohan perlu mengikut undang-undang.

"Kita tidak boleh terus bertindak tanpa mengetahui sebab sebenar kedatangan mereka (kumpulan bersenjata) dan tindakan kita mesti mengikut protokal yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan gagal menangani isu pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, lebih awal sehingga menyebabkan pertumpahan berdarah.
Terdahulu, beliau merasmikan program persijilan asas kejuruteraan penerbangan untuk lesen DCAM Part-66, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCAM), bagi anggota tentera yang bakal bersara di sini.

Setakat ini, lapan anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa tentera Kesultanan Sulu dari Filipina, di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac.

Mengenai gambar lelaki dipenggal kepala tersiar dalam laman web kononnya dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata itu, Abdul Aziz berkata ia merupakan gambar lama yang dipercayai berlaku di sebuah negara jiran beberapa tahun lalu.

"Gambar itu ditulis dengan perkataan 'Lahad Datu' di bawahnya untuk mengambarkan peristiwa itu berlaku di Lahad Datu dan ini menampakkan niat jahat pihak tertentu terhadap kerajaan," katanya.

Beliau tidak menolak ia dilakukan untuk berseronok-seronok sahaja tetapi menegaskan bahawa implikasinya amat besar kepada negara dan tidak sepatutnya dilakukan oleh orang yang waras. -BERNAMA/mStar