PAS mesti memberi tumpuan untuk menambah sokongan pengundi-pengundi Melayu sehingga empat peratus, tegas presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.
Hadi dalam ucapannya sewaktu Himpunan Hijau Menuju
Putrajaya di Alor Star menegaskan PAS mempunyai tanggungjawab berat yang perlu
bagi menarik undi Melayu kepada parti tersebut.
“Antara langkah yang perlu diambil PAS adalah
meyakinkan masyarakat Melayu bahawa PAS benar-benar bersedia untuk memimpin
negara dan akan memartabat masyarakat Melayu dengan mendaulatkan Islam.
“Selain itu, ahli PAS perlu menyedarkan masyarakat
Melayu dengan isu-isu yang mereka mempunyai kepentingan langsung seperti isu
FELDA, pengambilan dan rampasan tanah, majoriti masyarakat Melayu yang
terpinggir dan salah urus wang zakat,” tambah Ahli Parlimen Marang ini lagi.
Menjadikan masyarakat Melayu bandar dan golongan
Melayu kelas pertengahan sebagai agen perubahan penting kepada
pengundi-pengundi Melayu luar bandar turut menjadi matlamat parti komponen
Pakatan Rakyat ini lagi
Jelas Hadi, bagi tujuan tersebut, partinya akan
menggunakan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk melaksanakan
perancangan mereka itu.
Selain itu, PAS turut mensasarkan untuk mendekati
golongan-golongan yang berpengaruh besar dari kalangan pengundi-pengundi Melayu
seperti penjawat awam dan pertubuhan masyarakat sivil.
PAS dilihat mula merekrut golongan professional
bekas pegawai kerajaan untuk menyertai parti tersebut bagi membolehkan mereka
menerima sokongan pengundi Melayu dengan pilihan raya yang dijangka berlangsung
tidak lama lagi.
Selain itu, Hadi turut mengambil kira sayap pemuda
dan muslimat parti bagi menggembleng tenaga untuk meraih sokongan pengundi muda
di bandar yang juga merupakan pengundi kali pertama sewaktu Pilihan Raya Umum
ke-13 ini.
“PAS melalui Dewan Pemuda PAS perlu memberi tumpuan
yang besar kepada pengundi-pengundi muda yang sebahagian besar mereka berada di
bandar-bandar.
“Dewan Muslimat juga perlu mengekang dan
mengurangkan sokongan kaum wanita kepada BN dan juga mendekati dengan berakhlak
penggerak-penggerak KEMAS yang sebahagian besarnya dari kalangan kaum wanita,”
katanya.
Hadi turut menegaskan, Dewan Ulama perlu mendekati
golongan agamawan dan NGO-NGO Islam untuk meyakinkan mereka bahawa Pakatan
Rakyat bersedia memikul amanah ke arah pemerintahan yang adil dan ihsan.
“PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
akan terus mendekati para pengundi bukan Islam untuk meyakinkan mereka dengan
slogan ‘PAS for All’.”
Hadi turut menggesa semua ahli PAS mesti mendekati
para pegawai kerajaan termasuk ahli-ahli pasukan keselamatan seperti anggota
tentera, polis dan RELA di samping penyokong-penyokong Umno dengan akhlak yang
terpuji supaya mereka beralih menyokong perjuangan Islam yang dipelopori oleh
PAS.
“Sekiranya PAS dan PR diberi kepercayaan memimpin
Malaysia kesemua mereka akan dilayan sama adil sebagaimana tuntutan Islam, dan
seperti yang dipelajari dari Sirah Rasulullah s.a.w. tidak akan wujud gejala
membalas dendam terhadap mana-mana pihak,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment