BALAKONG – Rakyat Selangor bakal menerima bahana akibat sikap degil Kerajaan Negeri yang enggan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 apabila bekalan air di flat Taman Putera Budiman di sini terpaksa dicatu sejak seminggu lalu.
Pengerusi
Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, krisis
air bukan kerana kekurangan sumber bekalan air mentah tetapi berpunca daripada
sikap Kerajaan Negeri yang masih enggan melaksanakan projek Loji Rawatan Langat
2 untuk memproses air terawat.
Katanya, beliau
juga kesal Kerajaan Negeri terus menjadikan Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas) sebagai kambing hitam menyebabkan rakyat yang menanggung rugi,
sedangkan hakikat sebenar kegagalan itu berpunca daripada Kerajaan Negeri
sendiri.
"Rakyat
perlu faham Syabas hanya berfungsi sebagai operator agihan yang membeli air
dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna. Syabas mengalami kekurangan air untuk
dibekalkan kepada rakyat tetapi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan
barisan Exconya masih berdolak-dalik memberikan pelbagai alasan yang
mengelirukan.
“Apa yang
berlaku di flat ini adalah kerana keegoan dan keangkuhan Abdul Khalid kononnya
bekalan air masih mencukupi sedangkan penduduk di sini sudah hampir seminggu
terseksa kerana bekalan air terpaksa dicatu,” katanya kepada pemberita,
semalam.
Sohaimi
berkata, jika kerajaan Selangor pandai menguruskan air, sudah tentu keadaan ini
tidak akan berlaku.
"Bagaimana
Kerajaan Negeri mengatakan krisis air tidak berlaku sedangkan ada rakyat
menderita kerana tidak mendapat bekalan air? Malangnya, Kerajaan Selangor tidak
mahu mengaku kelemahan diri sendiri lantas menuding jari menyalahkan orang lain
pula," katanya.
Beliau
menegaskan, masalah itu tidak akan menjadi isu sekiranya Kerajaan Negeri
mengetepikan soal politik dan mengutamakan rakyat dalam tindakan.
“Ini bila
Syabas hantar air... mereka pun hantar air... tetapi lori digunakan kita tidak
tahu datang dari mana. Kebersihannya dan kandungan dibawa juga diragui,”
katanya.
Beliau
berkata, GPRS bersama ketua kampung, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
akan membuat lawatan ke loji pemprosesan air di Hulu Langat hari ini supaya
wakil-wakil penduduk ini dapat melihat sendiri bagaimana pemprosesan air dengan
lebih jelas dan mendapatkan maklumat sebenar berhubung isu tersebut.
“Kasihan
kerana rakyat mengharungi keadaan tidak selesa, mengangkut air yang disediakan
Syabas sehingga ke tingkat lima bagi yang tinggal di pangsapuri dalam keadaan
berpuasa. Lebih menyusahkan, sekiranya pangsapuri diduduki tiada kemudahan
lif,” katanya.
Beliau
berkata, jika masalah tidak diselesaikan dengan baik, tidak mustahil banyak
lagi kawasan-kawasan baru yang akan terbabit.
"Dalam
keadaan rakyat menderita tidak ada air ini pun Kerajaan Negeri masih hendak
berpolitik," katanya.
No comments:
Post a Comment