KOTA KINABALU - Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk
Seri Lajim Ukin enggan mengulas buat masa ini isu berkaitan pembatalan
pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang
berkuatkuasa serta-merta.
"Saya belum komen apa-apa dahulu... nanti pada masa yang
sesuai saya akan buat kenyataan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini
hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini
memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah
memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.
Ini mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan
bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai
anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi
Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.
Lajim bagaimanapun berkata beliau masih kekal sebagai anggota
Umno. Sementara itu, setiausaha Barisan Nasional Negeri Datuk Abdul Rahman
Dahlan, dalam reaksi segera berikutan pembatalan pelantikan Lajim itu berkata,
tiba masanya satu tindakan diambil terhadap Lajim.
"Apa yang diputuskan oleh Agong adalah betul. Sesuatu
perlu dibuat. Sekarang Perdana Menteri perlu meneliti senario keseluruhan, sama
ada hendak membiarkan jawatan itu dikosongkan atau mengisinya," katanya.
Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata
tindakan seterusnya ialah untuk "memecat Lajim daripada Umno".
Katanya, Lajim tidak sepatutnya menentang parti tetapi kekal sebagai ahli.
Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny
Mositun pula berkata, keputusan Najib itu merupakan prerogatifnya sebagai
Perdana Menteri untuk melantik atau membatalkan jawatan seseorang dalam
Kabinetnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment