JI-KOMUNIS:
PR CABAR PDRM TUNJUK BUKTI
SHAH ALAM - Komponen Pakatan Rakyat (PR) mencabar polis
menunjukkan bukti jika benar parti-parti politik pembangkang diresapi pengganas
Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis,
yang cuba menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang
kenyataan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam "bertujuan
jahat" ke atas pembangkang menjelang PRU13.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin sokongan
kepada PR khususnya Pas, yang dinamakan secara langsung dalam kenyataan
semalam, tidak akan terjejas.
"Saya minta tunjuk bukti kalau benar dalam Pas ada orang
seperti ini seperti yang didakawa oleh Datuk Mohd Sofian (Md Makinuddin). Kami bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini
dikeluarkan ketika menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat...
kenyataan yang berniat jahat," kata beliau ketika dihubungi.
Salahuddin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan
seumpama itu sebab pihak berkuasa pernah menggunakan cara yang sama pada
masa-masa lalu.
"Polis pernah membuat kenyataan seperti ini, mengaitkan
Pas dengan kumpulan Al-Maunah, saya melihat tujuan berniat jahat ini berulang
ketika dekat dengan PRU. Pas, yang sudah terlibat dalam politik lebih 50 tahun,
memilih untuk menggunakan jalan demokrasi, menerusi pilihan raya untuk menang
pilihan raya," katanya sambil menambah, PDRM tidak harus membuat
kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, kata Salahuddin, pihaknya akan membincangkan
tindakan ke atas pegawai polis berkenaan.
"Kami akan membincangkan tindakan yang hendak diambil
dalam waktu terdekat," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad
juga mencabar PDRM mengeluarkan bukti jika benar wujud elemen-elemen
sedemikian.
Sambil menegaskan pihaknya tidak terkejut dengan laporan
tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor ini berkata,
"kenyataan-kenyataan seperti ini, yang dibuat oleh polis, bukan perkara
baru."
"Saya pun boleh buat kenyataan seperti ini. Buktikan
siapa mereka, namakan individu terbabit, kita pun hendak tahu.
"Saya mencabar beliau bertanding pilihan raya jika
berminat untuk bercakap mengenai politik," kata beliau yang yakin bahawa
sedar dan tahu tentang keadaan sebenar, dan sokongan mereka tidak akan
terjejas.
"Ini taktik Barisan Nasional menggunakan polis untuk
membuat kenyaatan-kenyataan seperti ini menjelang PRU. Rakyat tahu,"
katanya lagi.
No comments:
Post a Comment