Setelah dibelenggu isu sampah, Kerajaan Negeri Selangor
pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihantui kontroversi krisis air.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tampil mendesak pimpinan
Khalid supaya lebih bersikap terbuka dan menerima Loji Rawatan Air Sungai
Langat 2 supaya masalah air ini dapat diatasi.
Tidak kurang juga pemimpin dari Barisan Nasional (BN) yang
membidas Khalid dalam isu ini dan juga kepimpinan beliau dalam menangani
masalah penurunan paras air.
Awal minggu ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas)
mengumumkan mahu melaksanakan catuan air.
Sebagai tindak balas, Khalid mengumumkan kerajaan negeri akan
mengambil alih pentadbiran Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana ragu
dengan keputusan entiti itu mahu berbuat demikian walhal air tadahan di
empangan dikatakan melimpah-limpah.
Melihat situasi ini, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan
Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, senario main tarik tali ini
pada akhirnya hanya akan mengundang kemarahan rakyat terutama di Selangor.
Keadaan ini katanya, akan menjejaskan peluang terutama kepada
Umno-Barisan Nasional untuk merampas kembali Selangor kerana rakyat
berpandangan isu air ini sengaja dipolitikkan oleh pusat dengan menjadikan
Syabas sebagai kuda tunggangan.
“Keadaan ini tidak bagus untuk pemerintah dan ia juga tidak
bagus untuk kerajaan negeri Selangor dan rakyat. Namun tindakan-tindakan
daripada pemimpin Pusat mahu pun negeri (dalam isu air) nampaknya tidak masuk
akal. Rakyat marah kerana ini untuk kepentingan politik,” ujar
beliau.
Rakyat menurut beliau, akan menterjemahkan kemarahan mereka
melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama
lagi.
“Berdasarkan siasatan yang kita lakukan, kita yakin jika isu
ini berterusan, Kerajaan Pusat tidak akan dapat mengambil alih Selangor. Dua tiga bulan sebelum ini mereka terbuka untuk menerima
Kerajaan Pusat tetapi sekarang mereka merasakan ada kumpulan tangan hitam
mereka-rekakan krisis air ini, mereka jadi marah,” tambah beliau.
Sementara itu, seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat juga
mendakwa krisis air yang dilaporkan melanda Lembah Klang hanyalah rekaan
semata-mata bagi membolehkan Projek Langat 2 direaliasasikan.
Bahkan dakwa Charles Santiago, Kerajaan Pusat telah
menjanjikan habuan kepada Puncak Niaga Holdings Berhad peranan dalam pengurusan
air dari Pahang itu sekiranya “krisis air” ini berjaya diwujudkan.
“Saya dengar ura-ura daripada orang dalam industri air,
Puncak Niaga telah dijanjikan dengan Projek Langat 2. (Apa yang menjadi) masalah sekarang ini ialah Syabas. Kita
ada banyak air mentah tetapi ia seolah-olah tidak digunakan langsung. Apa yang
mereka buat sekarang ialah mereka mewujudkan satu krisis supaya loji rawatan
Langat 2 diberikan kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian.
Ahli Parlimen Klang itu menambah, justeru, adalah penting
satu badan bebas dibawa masuk ke dalam Syabas yang saham terbesarnya dimiliki
oleh Puncak Niaga untuk melakukan audit secara menyeluruh.
“Jika tidak teka-teki ini akan berlarutan dan yang menjadi
mangsa ialah pengguna air di Selangor. Persoalan kita sekarang ialah apakah matlamat sebenar
Syabas? Adakah ini satu cara untuk menggugat Kerajaan Negeri Selangor?” kata
beliau.
Katanya, air adalah sesuatu yang sangat penting dan ia boleh
menimbulkan kemarahan kepada kerajaan negeri.
Senario ini katanya, sekali gus "memanaskan" lagi
hubungan di antara kerajaan Pusat, Selangor dan Syabas sendiri yang sememangnya
tegang sejak pentadbiran Selangor bertukar tangan.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Mohd
Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, isu air ini sudah jauh terpesong apabila
kedua-dua pihak, Kerajaan Pusat dan negeri kononnya masing-masing mahu menjadi
juara rakyat.
“Mereka ingin memperjuangkan isu air untuk menunjukkan kepada
rakyat dasar siapa lebih bagus,” katanya.
Namun jelas beliau, dalam hal ini apa yang lebih penting
ialah bagaimana menyelesaikan krisis air ini sekiranya ia benar-benar berlaku. Meja rundingan menurut beliau, adalah jalan terbaik
memandangkan isu air ini begitu besar dan perlu ditangani secara berhemah.
“Apa yang mustahak ialah jaminan bekalan air yang bersih
kepada rakyat,” tegas beliau.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Shukor
Idrus menyelar tindakan Kerajaan Negeri yang berhasrat untuk mengambil alih pentadbiran Syabas. Menurut beliau, masih banyak tanggungjawab pentadbiran dan
agenda memajukan negeri yang perlu
dilaksanakan oleh kerajaan Selangor hari ini daripada masuk campur dalam
urusan yang tiada dalam kepakaran mereka.
“Terlalu banyak yang hendak dibuat. Pembangunan Sungai Klang
pun mereka kata mereka nak buat. Sepatutnya kerajaan negeri menumpukan kepada kerja-kerja
pembangunan untuk rakyat yang sudah banyak terbengkalai,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Syukor berkata, inisiatif Kerajaan Pusat
dalam menjayakan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 tidak harus dipandang
daripada sudut politik.
Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan
Khalid harus memiliki keazaman politik yang tinggi dalam mendahulukan
kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti.
“Ini bukan perkara main-main. Ini untuk masa depan semua.
Keperluan air ini untuk semua. Kalau begini lah rupanya cara pentadbiran kerajaan negeri
berpolitik tanpa memikirkan masalah rakyat, saya ingat rakyat kena tolak
pemimpin politik yang seperti ini,” tambah beliau.
Orang boleh marah kerana tiada air. Rakyat boleh kecewa jika
tiada air. Pengundi boleh menterjemahkan di peti undi. Pilihan Raya Umum ke-13
tidak lama lagi.
KD: Benar atau tidak krisis air, nampaknya krisis air menjadi
modal politik. Bahan kempen pra-PRU13.
No comments:
Post a Comment