Showing posts with label Syabas. Show all posts
Showing posts with label Syabas. Show all posts

Friday, March 8, 2013

PKR MAHU AMBIL SYABAS GIMIK POLITIK

TANJUNG KARANG: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyelar tindakan Kerajaan PKR Selangor yang mahu mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana dilihat sebagai gimik politik.

Katanya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sengaja melewat-lewatkan proses pengambilalihan itu termasuk dikatakan tidak mengemukakan permohonan dengan lengkap selain banyak maklumat dalam borang permohonan tidak dinyatakan dengan jelas.

"Saya dimaklumkan permohonan yang dibuat itu tidak lengkap. Saya hairan kerana Khalid sebagai Menteri Besar serta pernah dianggap sebagai tokoh korporat, seolah-olah tiada pengalaman mengisi borang.

"Ia seolah-olah satu helah untuk melengah-lengahkan dan gimik politik. Dulu kata mahu bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Chap Goh Mei, sekarang sibuk pula pasal SYABAS.

"Kerajaan Pusat sejak dulu lagi menegaskan tiada halangan jika kerajaan negeri mahu mengambil alih SYABAS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan pertama Klinik 1Malaysia di Tanjung Karang, di Kampung Parit 2, Ban 4, Sungai Burong.

Sementara itu, Khalid dalam kenyataannya lewat petang semalam menegaskan, kerajaan negeri sedia menimbangkan untuk mengambilalih SYABAS terlebih dulu kerana syarikat itu adalah pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor. -BHarian

KD: Hangat-hangat tahi ayam??

Thursday, August 2, 2012

ISU AIR: SELANGOR AKAN ADAKAN FORUM AWAM

MStar/SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan forum awam mengenai krisis air di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu berkata, forum itu akan menjemput semua jabatan dan agensi kerajaan bagi memberikan penerangan yang sebenar mengenai masalah air Selangor.

"Jabatan Meteorologi telah memaklumkan bahawa sepanjang bulan Ogos hingga Oktober taburan hujan di seluruh negara termasuk Selangor adalah sekata dan ini bermakna krisis tidak cukup bekalan air di empangan atau loji rawatan air adalah tidak benar.

"Pakar-pakar kita akan memberikan gambaran dan situasi sebenar air di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Sementara itu, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu akan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki milik mereka ke 11 kawasan di Balakong dan dua kawasan di Subang Jaya.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan PBT menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dan kos ini kita akan minta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bayar sebab mereka tak jalankan tugas dengan efisien.

"Bukan itu sahaja, berdasarkan lawatan kita ke kolam simpanan air di Balakong mendapati hampir semua kolam tersebut tidak dijaga dan ada yang rosak," katanya.

Beliau menegaskan tindakan tersebut menyebabkan Syabas tidak dapat membekalkan air terawat yang mencukupi kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Banyak kolam air ini tidak diselenggara dengan baik. Kebanyakkannya tidak mempunyai pam air dan motor telah rosak, bukan itu sahaja pintu pagar pun hilang, ini sangat membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak," katanya.

Oleh itu, beliau menggesa Syabas mengambil tindakan segera bagi membaik pulih kolam air yang terjejas kerana sumber air sangat penting dalam kehidupan seharian.

"Esok PBT akan buat laporan polis berhubung sikap lepas tangan Syabas terhadap kolam air yang terbiar ini. Kita bimbang ada pihak yang cuba sabotaj dengan tuang racun atau apa sahaja di kawasan kolam air yang tidak berpagar ini.

"Mereka (Syabas) sepatutnya ganti motor dan pam yang rosak supaya bekalan air di kawasan yang terjejas mencukupi," katanya.


KD: semoga forum ini akan menghasilkan jalan penyelesaian bagi krisis air yang berlaku..

Tuesday, July 24, 2012

SELANGOR vs SYABAS: PR SOKONG HASRAT SELANGOR AMBIL ALIH SYABAS
PR sokong hasrat Selangor ambil alih Syabas
SHAH ALAM - Seramai 100 orang penyokong Pakatan Rakyat (PR) berhimpun secara aman di hadapan pejabat Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di sini, semalam sebagai sokongan kepada kerajaan negeri untuk mengambil alih pemegang konsesi air tersebut.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor,  Azmizam Zamanhuri berkata, bantahan ini menggesa Syabas membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih dalam operasi dan pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kami menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri untuk ambil alih Syabas dan yakin dengan kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik dengan harga tidak membebankan rakyat.

Menurutnya, mereka turut membantah cadangan program catuan air oleh Syabas dan sekali gus mendesak Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail melepaskan jawatannya kerana didakwa gagal menjalankan tugas membekalkan air kepada rakyat negeri ini.

Azmizam turut mempertikaikan cubaan membina persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan PR dengan mengumumkan krisis air dengan membelakangkan bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Tindakan tidak profesional Syabas dengan mengetepikan keperluan pengguna, dilihat lebih bersifat mensabotaj kerajaan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya.

Selain itu, kami rakyat Selangor menolak projek Langat 2 kerana dilihat membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus.

“Kos penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan pembinaan Loji Langat 2 menelan kos sebanyak RM 8.85 bilion dan ini membebankan rakyat,” katanya ketika perhimpunan aman di sini.

Dalam pada itu, satu memorandum yang menggaris tujuh tuntutan turut diserahkan kepada Pengarah Eksekutif Syabas, Ismail Hashim dalam perhimpunan berlangsung selama kira-kira 45 minit itu.

Memorandum tersebut antara lainnya membantah cadangan Syabas untuk mencatu bekalan air dan menuntut syarikat konsesi itu mensabotaj Kerajaan Negeri berhubung isu bekalan air.

Memorandum berkenaan juga menyatakan bantahan keras ke atas pembinaan Loji Langat 2 dan kegagalan Syabas mengurus kewangannya serta perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Perhimpunan aman yang dianjurkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) tersebut turut dihadiri pemimpin parti PR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

KD: Memang terbaik semangat yang ditunjukkan pennyokong PR ini. Tetapi adakah relevan semangat yang mereka tunjukkan ini?

SELANGOR vs SYABAS: PUSAT TOLAK HASRAT SELANGOR AMBIL ALIH SYABAS


Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak permohonan yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini memandangkan kedua-dua pihak terbabit gagal mematuhi perjanjian konsesi yang telah dimertai.

Menurutnya, pengambilalihan itu tidak boleh dilakukan kerana Kerajaan Negeri tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.

“Ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan (membabitkan) prosedur yang tidak boleh dipenuhi kerajaan negeri Selangor dan Syabas. Kita akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa di sini, semalam. Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Idris Jala.



KD: Apakah keputusan Kerajaan Pusat menolak permohonan Kerajaan Selangor untuk mengambil alih pengurusan Syabas adalah keputusan wajar atau sebaliknya? Krisis air di Selangor sudah berlarutan agak lama. Ia dilihat seperti dipolitikkan sehingga yang menjadi mangsa adalah pengguna. Justeru, adakah keputusan terbaru ini akan meredakan keadaan? Masih tidak dapat dipastikan.

Thursday, July 19, 2012

ANALISIS - JANGAN SAMPAI ISU AIR MELANGKAH KE PETI UNDI

Krisis air: Jangan jadi macam budak
Setelah dibelenggu isu sampah, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dihantui kontroversi krisis air.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tampil mendesak pimpinan Khalid supaya lebih bersikap terbuka dan menerima Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 supaya masalah air ini dapat diatasi.

Tidak kurang juga pemimpin dari Barisan Nasional (BN) yang membidas Khalid dalam isu ini dan juga kepimpinan beliau dalam menangani masalah penurunan paras air.

Awal minggu ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengumumkan mahu melaksanakan catuan air.

Sebagai tindak balas, Khalid mengumumkan kerajaan negeri akan mengambil alih pentadbiran Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana ragu dengan keputusan entiti itu mahu berbuat demikian walhal air tadahan di empangan dikatakan melimpah-limpah.

Melihat situasi ini, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, senario main tarik tali ini pada akhirnya hanya akan mengundang kemarahan rakyat terutama di Selangor.

Keadaan ini katanya, akan menjejaskan peluang terutama kepada Umno-Barisan Nasional untuk merampas kembali Selangor kerana rakyat berpandangan isu air ini sengaja dipolitikkan oleh pusat dengan menjadikan Syabas sebagai kuda tunggangan.

“Keadaan ini tidak bagus untuk pemerintah dan ia juga tidak bagus untuk kerajaan negeri Selangor dan rakyat. Namun tindakan-tindakan daripada pemimpin Pusat mahu pun negeri (dalam isu air) nampaknya tidak masuk akal. Rakyat marah kerana ini untuk kepentingan politik,” ujar beliau.

Rakyat menurut beliau, akan menterjemahkan kemarahan mereka melalui peti undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Berdasarkan siasatan yang kita lakukan, kita yakin jika isu ini berterusan, Kerajaan Pusat tidak akan dapat mengambil alih Selangor. Dua tiga bulan sebelum ini mereka terbuka untuk menerima Kerajaan Pusat tetapi sekarang mereka merasakan ada kumpulan tangan hitam mereka-rekakan krisis air ini, mereka jadi marah,” tambah beliau.

Sementara itu, seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat juga mendakwa krisis air yang dilaporkan melanda Lembah Klang hanyalah rekaan semata-mata bagi membolehkan Projek Langat 2 direaliasasikan.

Bahkan dakwa Charles Santiago, Kerajaan Pusat telah menjanjikan habuan kepada Puncak Niaga Holdings Berhad peranan dalam pengurusan air dari Pahang itu sekiranya “krisis air” ini berjaya diwujudkan.

“Saya dengar ura-ura daripada orang dalam industri air, Puncak Niaga telah dijanjikan dengan Projek Langat 2. (Apa yang menjadi) masalah sekarang ini ialah Syabas. Kita ada banyak air mentah tetapi ia seolah-olah tidak digunakan langsung. Apa yang mereka buat sekarang ialah mereka mewujudkan satu krisis supaya loji rawatan Langat 2 diberikan kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Ahli Parlimen Klang itu menambah, justeru, adalah penting satu badan bebas dibawa masuk ke dalam Syabas yang saham terbesarnya dimiliki oleh Puncak Niaga untuk melakukan audit secara menyeluruh.

“Jika tidak teka-teki ini akan berlarutan dan yang menjadi mangsa ialah pengguna air di Selangor. Persoalan kita sekarang ialah apakah matlamat sebenar Syabas? Adakah ini satu cara untuk menggugat Kerajaan Negeri Selangor?” kata beliau.

Katanya, air adalah sesuatu yang sangat penting dan ia boleh menimbulkan kemarahan kepada kerajaan negeri.

Senario ini katanya, sekali gus "memanaskan" lagi hubungan di antara kerajaan Pusat, Selangor dan Syabas sendiri yang sememangnya tegang sejak pentadbiran Selangor bertukar tangan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, isu air ini sudah jauh terpesong apabila kedua-dua pihak, Kerajaan Pusat dan negeri kononnya masing-masing mahu menjadi juara rakyat.

“Mereka ingin memperjuangkan isu air untuk menunjukkan kepada rakyat dasar siapa lebih bagus,” katanya.

Namun jelas beliau, dalam hal ini apa yang lebih penting ialah bagaimana menyelesaikan krisis air ini sekiranya ia benar-benar berlaku. Meja rundingan menurut beliau, adalah jalan terbaik memandangkan isu air ini begitu besar dan perlu ditangani secara berhemah.

“Apa yang mustahak ialah jaminan bekalan air yang bersih kepada rakyat,” tegas beliau.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang, Shukor Idrus menyelar tindakan Kerajaan Negeri yang berhasrat untuk  mengambil alih pentadbiran Syabas. Menurut beliau, masih banyak tanggungjawab pentadbiran dan agenda memajukan negeri yang perlu  dilaksanakan oleh kerajaan Selangor hari ini daripada masuk campur dalam urusan yang tiada dalam kepakaran mereka.

“Terlalu banyak yang hendak dibuat. Pembangunan Sungai Klang pun mereka kata mereka nak buat. Sepatutnya kerajaan negeri menumpukan kepada kerja-kerja pembangunan untuk rakyat yang sudah banyak terbengkalai,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Syukor berkata, inisiatif Kerajaan Pusat dalam menjayakan projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 tidak harus dipandang daripada sudut politik. 

Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Khalid harus memiliki keazaman politik yang tinggi dalam mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti.

“Ini bukan perkara main-main. Ini untuk masa depan semua. Keperluan air ini untuk semua. Kalau begini lah rupanya cara pentadbiran kerajaan negeri berpolitik tanpa memikirkan masalah rakyat, saya ingat rakyat kena tolak pemimpin politik yang seperti ini,” tambah beliau.

Orang boleh marah kerana tiada air. Rakyat boleh kecewa jika tiada air. Pengundi boleh menterjemahkan di peti undi. Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

KD: Benar atau tidak krisis air, nampaknya krisis air menjadi modal politik. Bahan kempen pra-PRU13.

Wednesday, July 18, 2012

KRISIS AIR SELANGOR - 'TUNJUK ASAS JIKA MAHU AMBIL ALIH SYABAS'

Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) perlu mengemukakan rancangan dan pelan mereka untuk menguruskan bekalan air di negeri itu, jika berhasrat mahu mengambil alih peranan itu daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Dipetik Bernama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengambilalihan tanggungjawab itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu dimaklumkan kepada kerajaan pusat berdasarkan peruntukan dalam perjanjian konsesi sedia ada.

“Jadi kalau mereka ingin buat keputusan begitu mereka kena maklumkan. Sama ada, ada asas atau pun tidak itu kita tidak tahu lagi dan kita juga mahu tahu apa perancangan kerajaan negeri dalam nak menyelesaikan krisis air di Selangor.

“Sebagaimana pelan pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 yang belum diputuskan lagi.

"Jadi kalau itu mereka sampaikan kepada kerajaan pusat dan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui (selaku menteri bertanggungjawab) boleh menilai adakah asas itu asas yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa Syabas tidak menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi dan kerajaan negeri mahu mengambil alih tanggungjawab itu daripada syarikat tersebut.

KD: Memang langsung tak faham dengan kontroversi SYABAS vs Kerajaan Negeri Selangor ni. Kedua-dua pihak berbalah dan menyalahkan pihak lain. Ironinya, krisis air di Selangor masih juga tiada penyudahnya. Entah siapa benar atau tidak, KD kurang pasti kerana kurang arif mengenai pengendalian atau pengurusan air. Jadi, perlukah pihak ketiga dalam hal ini? Cepatlah bertindak, kerana KD adalah antara berjuta pengguna di Lembah Klang!!