Kajian kendalian Merdeka Center mendapati, tahap populariti Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kalangan pengundi di Semenanjung
"kekal stabil" di tahap positif meskipun merekodkan sedikit penurunan
membabitkan kaum Melayu dan India .
Penemuan firma itu, yang dikeluarkan
semalam, menunjukkan populariti Najib pada bulan lalu berada di paras 64
peratus berbanding 65 peratus Mei lalu.
Kajian itu juga menunjukkan paras rasa
puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri di kalangan pengundi Melayu,
penduduk majoriti negara ini, dan India, kaum minoriti, masing-masing menurun
daripada paras 79 peratus kepada 75 peratus dan 72 peratus kepada 69 peratus.
Bagaimanapun sokongan pengundi Cina
terhadap prestasi Najib telah meningkat daripada 37 peratus pada Mei lalu
kepada 42 peratus bulan lalu.
Menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, "Meskipun mengalami penurunan di
kalangan pengundi kaum India dan Melayu, paras yang direkodkan masih tinggi.
Cuma ada perubahan sedikit di kalangan pengundi Cina."
Terdahulu dalam satu kenyataannya,
Ibrahim berkata, pendirian komuniti-komuniti itu kemungkinan dipengaruhi oleh
kebimbangan mereka tentang keadaan ekonomi negara khususnya di kalangan
pengundi India.
"Ia juga ada kaitan dengan rasa
tidak puas hati berhubung kenyataan berkaitan dengan aktivis (Pengerusi Bersama
Bersih 2.0) Datuk S. Ambiga," kata beliau lagi.
Kajian terbaru ini dikendalikan antara
22 dan 29 Jun lalu membabitkan 1,010 pengundi berdaftar melibatkan 59 peratus
pengundi Melayu, Cina (32 peratus) dan India (sembilan).
Ibrahim berkata, meskipun Najib
merekodkan paras populariti yang stabil dan masih tinggi, kajian yang sama juga
menunjukkan bahawa pandangan pengundi terhadap kerajaan terus mengalami
penurunan.
Katanya, seramai 42 peratus responden
melahirkan pendirian bahawa "mereka gembira dengan kerajaan" - satu
penurunan sebanyak enam peratus berbanding kajian dikendalikan pada pertengahan
Mei 2012.
"Penurunan ini sangat ketara di
kalangan pengundi Melayu, di mana respons mereka yang mengatakan 'gembira'
dengan kerajaan mengalami penurunan daripada 65 peratus pada bulan Mei kepada
58 peratus Jun 2012," katanya lagi.
Ibrahim juga berkata, kajian pihaknya
juga menunjukkan bahawa pendirian berhubung isu-isu ekonomi khususnya kos hidup
dan gaji menjadi aspek pilihan utama di kalangan pengundi - 39 peratus pada
bulan lalu berbanding 33 peratus pada Mei lalu.
"Ini disusuli dengan kebimbangan
berkenaan dengan kadar jenayah dan masalah sosial pada 12 peratus dan isu-isu
politik sekitar lapan peratus," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment