Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempersoal peranan Majlis Profesor Negara (MPN) yang menerajui kajian membabitkan isu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana memfokus isu remeh, yang memberi kelebihan kepada Kerajaan Pusat.
Beliau berkata, badan itu sewajarnya
memfokus kepada kajian ilmiah yang lebih bermanfaat membabitkan isu pilihan
raya seperti pilihan raya yang lebih bersih atau pengundi hantu.
“Saya kecewa kerana tahap pemikiran
golongan profesor tidak jauh bezanya dengan pemimpin peringkat bawahan Barisan
Nasional (BN), yang memfokus isu remeh seperti calon MB. Ini suatu yang malang kerana
golongan cerdik pandai sepatutnya mengkaji isu yang lebih serius,” katanya.
Azizan berkata, golongan itu seolah-olah
diperalatkan pihak tertentu untuk membangkitkan isu ini demi kepentingan
kumpulan tertentu.
“Jika kajian isu politik dibuat oleh
kalangan orang politik, ia bukan sesuatu yang pelik. Kebijaksanaan mereka harus
difokuskan kepada masalah negara yang lebih besar seperti isu rakyat,
membangunkan negeri atau mempertahan kuasa,” katanya.
Menurutnya, golongan itu perlu bangkit
mengupas isu lebih serius dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Dewan
Undangan Negeri (Dun) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kajian UUM satu
petunjuk terhadap perubahan sokongan yang sedang berlaku.
Mahdzir berkata, pendedahan itu
merupakan satu perkara yang baik namun pada masa yang sama BN di negeri ini
tidak boleh leka sebaliknya perlu terus bekerja keras.
"Kajian itu menyatakan bahawa
rakyat Kedah kembali memilih BN, ini sesuatu yang bagus. Perkara ini bukan
rekaan kerana disokong dengan fakta hasil kajian yang mereka jalankan. Kenapa rakyat kembali memilih BN?
Sudah tentu ada alasan tertentu yang menyokong perubahan ini, terutama dari
segi kredibiliti Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) mentadbir
Kedah," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengerusi MCA Kedah,
Datuk Chong Itt Chew ketika diajukan soalan sama, turut menyifatkan kajian
berkenaan adalah maklumat yang tepat, lebih-lebih lagi apabila prestasi PR
dalam mentadbir Kedah dilihat semakin merosot.
"Lebih empat tahun mereka (PR)
mentadbir Kedah, prestasi mereka boleh dikatakan cukup teruk, tiada perubahan
atau pembangunan dilakukan di negeri ini. Rakyat mula-mula memberi harapan
besar kepada mereka namun akhirnya rakyat kecewa kerana apa yang diharapkan
tidak seindah janji yang ditabur," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, yang
juga Timbalan Pengerusi BN Kedah, bagaimanapun enggan mengulas mengenai hasil
kajian berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul
Izzah Anwar turut menyuarakan pandangannya. Menurut beliau, pelbagai pihak
boleh mengutarakan pandangan, analisa dan kajian namun ketepatannya sering kali
tersasar.
Beliau yang meragui ketepatan kajian dan
analisis, mempersoalkan metodologi yang diguna pakai pihak berkenaan dalam
membuat kajian terbabit.
Katanya, setiap kaji selidik atau
analisa dilakukan seharusnya ikut garis panduan standard tanpa memihak sesiapa.
Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula menyelar kajian itu dan menyifatkannya sebagai tidak tepat dan tidak
menggambarkan pandangan keseluruhannya.
Katanya, kajian itu hanya untuk
meyakinkan rakyat bahawa ramai yang memberi sokongan terhadap BN, sedangkan
perkara sama juga berlaku terhadap Pakatan.
Majlis Profesor Negara (MPN) didakwa
cuba mencetuskan perang psikologi kepada Pakatan Rakyat (PR) apabila kajian
yang dibuat membabitkan keputusan PRU13 memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Exco Kerajaan Neger Kedah, Datuk Ir Amiruddin
Hamzah berkata, pihak yang mengendalikan kajian terbabit berupaya mencetuskan
suasana perang psikologi tanpa sedar, kerana ia banyak dilakukan di negara
demokrasi lain.
“Penggunaan responden boleh
dimanipulasi. Ini boleh menyebabkan keputusan tidak seimbang dan pasti hanya
memihak kepada pihak tertentu,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan dua kajian yang
memberi keputusan berbeza iaitu Profesor Dr Rohana Yusof yang memihak kepada BN
dan Profesor Madya Dr Fuad Mohd Jali yang memihak kepada PR, menunjukkan
kedua-dua parti mempunyai peluang sama rata.
“Siapa juga boleh dakwa pemimpin
terbabit layak jadi pengganti Azizan. Pas Kedah lebih fokus pada usaha kekalkan
kemenangan bukan cari pengganti Azizan. Yang penting, calon itu perlu
dicalonkan dalam PRU13 dan menang, selain PR perlu terus berkuasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment