PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga minimum bagi semua jenama rokok ialah RM7 mulai 1 September dan hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket.
Menteri
Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serentak itu, kerajaan turut
memansuhkan semua jenis diskaun yang ditawarkan oleh syarikat rokok.
Beliau berkata
kerajaan juga hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 10 paket dalam satu
karton.
"Mulai 1
September 2012, semua diskaun jualan rokok akan dimansuhkan...semua jenama
rokok tidak boleh mengadakan diskaun. Pelarasan diskaun harga jualan runcit
rokok dimansuhkan. Hanya satu harga minimum iaitu RM7 untuk paket 20 batang.
"Pengilang-pengilang
membungkus rokok perlu memastikan dalam paket hanya 20 batang dan satu karton
mengandungi 10 paket sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas
memperkenalkan 'Duta ASAP Smoke Free Lifestyle', di sini, Selasa.
Liow berkata
dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara
hendaklah dijual dengan harga tidak kurang daripada harga minimum yang
ditetapkan itu.
Tahun lepas
harga minimum rokok ditetapkan RM7 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan
menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga
menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.
Bagaimanapun
kerajaan ketika itu tidak menetapkan saiz paket dan terdapat 21 batang rokok
(RM7.23), 22 batang rokok (RM7.70), 23 batang rokok (RM8.05).
Liow berkata
walaupun sebelum ini penjualan rokok pada harga yang lebih rendah dilarang,
syarikat rokok dibenar membuat pelarasan harga sebanyak tiga kali setahun
dengan perbezaan harga tidak boleh melebihi lima peratus.
Beliau berkata
kerajaan menguatkuasa peraturan baru itu untuk mengurangkan kebolehcapaian dan
kemampuan membeli rokok terutama oleh kanak-kanak, remaja dan golongan
berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian
diskaun yang berlebihan.
Dengan
penguatkuasaan peraturan baru ini, kompaun antara RM500 dan RM5,000 dikenakan
bagi kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum manakala bagi kesalahan
menjual rokok tidak sah, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak
lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment