MAKKAH: Beberapa tokoh ulama dari Arab Saudi menyifatkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya meletakkan Islam sebagai teras
kepada kemajuan.
Tokoh ulama terkenal di Arab Saudi iaitu Sheikh Dr Abdullah
Hamad Jalaly, Mufti Masjidil Haram Makkah Sheikh Dr Sulaiman Al Salumi dan
Ketua Hakim Mahkamah Makkah Dr Saleh Darwish menyatakan pandangan mereka itu
dalam satu perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini.
Ketiga-tiga tokoh agama bersama dua lagi pemimpin Islam
terkenal iaitu Penasihat Wasir TV Channel Sheikh Dr Abdul Rahim Mulazadah dan
Pengerusi Al Maijd TV Dr Hammad Mohamad Al Ghammas mengunjungi Perdana Menteri
yang mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di kota suci Makkah mulai hari ini.
Najib memberitahu wartawan Malaysia di sini, ketiga-tiga
ulama Arab Saudi itu memuji kerajaan Malaysia kerana berjaya mengukuhkan kedaulatan
Islamiah apabila meletakkan Islam sebagai agama persekutuan walaupun rakyatnya
berbilang kaum dan agama.
Katanya para ulama Arab Saudi juga kagum dengan kepimpinan
kerajaan Malaysia yang memupuk hubungan baik antara ulama dan umarak dan
mahukan negara Islam lain menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam yang
maju.
"Kita juga memaklumkan mengenai konsep Wasatiyah yang
kita pegang dari dulu dan di peringkat negeri pula kita mempunyai enakmen yang
menyebut pegangan kita ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi mengelakkan berlaku
sebarang konflik dan kerosakan akidah dan sebagainya," kata beliau.
Ulama itu berpendapat pendekatan kerajaan terhadap kepimpinan
yang berteraskan Islam itu telah mengelakkan Malaysia daripada menghadapi
sebarang konflik seperti negara majmuk yang lain. /BERNAMA
No comments:
Post a Comment