KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemimpin semua peringkat perlu berani
'depoliticise' (mengetepikan politik dari) bidang pendidikan dan membuat
keputusan demi masa depan anak-anak yang lebih baik, bukan untuk tujuan
populis.
Perdana
Menteri berkata perkiraan pendidikan adalah perkiraan nasional dan bukannya
partisan kerana ia bermatlamat memastikan setiap anak Malaysia mampu
merealisasikan potensi kurniaan Tuhan yang dimiliki mereka.
Katanya,
sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia sentiasa menangani isu pendidikan
sebagai isu langkau politik dengan terus memperuntukkan jumlah yang signifikan
untuk sektor itu dalam bajet negara, termasuk pada 2012 yang memperuntukkan
RM37 bilion.
"Iltizam
kewangan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat komited bagi menjadikan
pendidikan sebagai suatu bidang keutamaan negara.
"Kita
bukan sahaja melihat dari segi kuantitatif tetapi juga kualitatif, serta
pastikan setiap ringgit duit pembayar cukai digunakan sebaik mungkin agar
negara dan rakyat mendapat 'value for money'," katanya ketika berucap
melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini Selasa.
Kata Najib,
era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap
kebijaksanaan telah berakhir, dan kini sedar bahawa harapan masyarakat terhadap
keberkesanan dasar pendidikan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara
bagi menghadapai cabaran abad ke-21 semakin meningkat.
"Masyarakat
sekarang lebih peka dengan pembangunan yang melanda sekitar dunia. Jangkaan
mereka terhadap pendidikan adalah tinggi, mereka mengharapkan pulangan yang
menguntungkan iaitu dengan anak-anak mereka menjadi seorang yang berguna,"
katanya.
Najib berkata
harapan kerajaan ialah setiap anak-anak di negara ini mempunyai akses yang sama
dalam pendidikan yang berkualiti tanpa mengira status sosioekonomi, etnik,
keupayaan fizikal atau latar belakang.
"Kerajaan
akan berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik untuk setiap
rakyat. Inilah tanggungjawab kita. Setiap dekad kemerdekaan menyaksikan cabaran
pendidikan yang bersifat bitara.
"Sebagai
sebuah negara, kita telah berjaya menangani cabaran pendidikan yang dihadapi,
era awal kemerdekaan telah menyaksikan bagaimana kita menangani masalah buta
huruf, diikuti cara kita menangani era ekonomi berasaskan pertanian dan
kemudiannya perindustrian," kata Najib. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment