PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memansuhkan AP (permit import) kereta pada 2015 sekiranya mereka menang pilihan raya umum ke-13.
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa, dengan
memansuhkan AP kereta, kerajaan akan mendapat keuntungan sekitar RM9 bilion
dalam tempoh tiga tahun terakhir sebelum AP dimansuhkan terus.
"Bagi setiap AP ketika ini, negara dan rakyat rugi
sehingga RM50,000 kerana jumah itu masuk poket pihak berkepentingan yang
mengaut untung besar.
"Jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap
tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan sekitar RM3 bilion
hingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa
dan Industri (Miti) hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja ke atas setiap AP
apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender
terbuka," katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR,
Isnin.
Menurutnya, setiap AP akan menarik bidaan setinggi RM60,000
setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka.
"Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion adalah lebih
tinggi dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga
kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat.
"Ia juga membuktikan kemampuan kerajaan untuk
melaksanakan dasar menurunkan harga kereta, jika Barisan Nasional benar-benar
serius mendengar desakan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan
Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang
dilaporkan berkata setiap AP baru bernilai sekitar RM50,000 dan bagaimana harga
kereta ingin diturunkan kerana peningkatan AP akan menyebabkan harga kereta
akan terus meningkat.
Mukhriz dipetik sebagai berkata pembangkang hanya pandai
membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan
tersebut dan dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua
itu dan ia boleh memufliskan negara.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata kenyataan Mukhriz
menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh digunapakai untuk
menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa dengan pandangan yang
berpihak kepada pengedar kereta yang membuat untung berlebihan daripada sistem
AP sedia ada.
"PKR mengesyorkan supaya pengedar-pengedar
berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan
demi mendapatkan pelanggan. Apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula
turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang
tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata PKR akan mengadakan forum Turun Harga Kereta pada 13 September ini bertempat di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bermula pada pukul 8 malam.
Menurutnya, forum tersebut merupakan salah satu siri jelajah
yang akan turut diadakan di Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota
Kinabalu dan Kuching yang akan diadakan pada bulan September dan Oktober ini.
"Forum kali pertama ini akan membariskan Ahli Parlimen
Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony
Pua, Wan Zaiful Wan Jan dan Rafizi. Ia akan dikendalikan oleh saya selaku
moderator.
"Orang ramai dijemput hadir untuk turut sama mendapatkan
pelekat kereta dan kemeja T 'turunhargakereta'," katanya.
No comments:
Post a Comment