KUALA LUMPUR: Kemelut antara
DAP dan PAS berhubung perlaksanaan hukum hudud makin berpanjangan apabila
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kini menggelar Nasharudin Mat Isa sebagai
'ejen Umno'.
Sambil menyifatkan bekas
Timbalan Presiden PAS itu sebagai seorang yang tidak konsisten, Lim sekali lagi
menegaskan bahawa DAP kekal dengan pendirian untuk menolak hukum hudud.
"Beliau memang sudah
tahu (pendirian DAP). Semasa jadi Timbalan Presiden PAS beliau tahu mengenai
pendirian kita dan ketika itu tak ada masalah.
"Mengapa bila sudah
tidak jadi (timbalan presiden) baru wujud masalah. Cakap macam ejen Umno
pula," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini, Selasa.
Ditanya mengenai gesaan
Nasharudin agar beliau mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kerana
secara konsisten mencampuri prinsip dan asas perjuangan PAS terutamanya
berkaitan perlaksanaan hukum hudud, Lim bagaimanapun mengelak daripada
memberikan sebarang komen.
Selain itu Lim yang juga
Ketua Menteri Pulau Pinang sekali lagi mengulangi pendirian senadanya dengan
Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menolak
hudud.
"Kalau nak tanya
tentang pendirian, kita amat jelas dengan pendirian ini (tolak hudud) sepanjang
masa. Ia amat konsisten, maka tak ada apa-apa perkara baru mengenainya,"
katanya. -MStar
No comments:
Post a Comment