Umno dan PAS perlu duduk semeja dan mengenepikan
urusan politik bagi meneruskan cadangan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Anggota Majlis Syura Himpunan Ulama Muda Malaysia
(ILMU), Ahmad Fauzan Yahaya berkata, idea gabungan kedua-dua parti berkenaan
merupakan satu usaha yang mantap bagi memartabatkan agama dan mendukung
cita-cita murni dalam mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
"Kalau nak cerita pasal negara demokrasi, bila
PAS nak buat hukum hudud, bekerjasama dengan parti kafir (DAP) dan di sebelah
kawannya juga PKR yang ada rojak punya pegangan, idealisme, pluralisme, macam
mana kamu nak perjuangkan Islam?
"Kalau benar mereka serius nak perjuangkan
Islam, yang terbaik adalah bergabung dengan Umno. Macam Tun Mahathir cakap,
kalau betul serius mahu buat, bergabunglah PAS dengan Umno. Jika tidak, ia
tidak ke mana, hanya omong kosong," katanya.
Ahmad Fauzan selain itu berkata, pelaksanaan hukum
hudud di negara ini mungkin mengambil masa berikutan kepelbagaian kaum yang
harus diberikan kefahaman dan mengambil kira persekitaran yang kondusif.
"Dan saya secara peribadi mengatakan bahawa
hukum hudud mungkin agak jauh lagi memandangkan kita sebuah negara berdemokrasi
tapi kita kena tanam cita-cita itu suatu hari nanti Insya-Allah dipermudahkan,
berdoa kepada Allah agar hukum ini akan berada di Malaysia," katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Jawatan Kuasa, Persatuan Generasi
Bestari Dr Wan Mohd Adam berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang
dicemburui oleh negara luar ekoran pelaksanaan sistem ekonomi dan pendidikan
yang berlandaskan Islam.
Tambahnya lagi, situasi tersebut dilihat sebagai
salah satu pemangkin untuk negara kita melaksanakan hukum hudud, cuma masih
terdapat fasa-fasa yang perlu dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat
kefahaman penuh berkenaan hukum ini.
"Pelaksanaan hukum hudud ini, kalau kita kata
nak laksana, dulu lagi kita boleh laksana, dah lama dah, masa dah tiba, cuma
kekangan kita hari ini ialah kefahaman kepada masyarakat.
"Kefahaman itu bukan kefahaman atas ideologi
politik, sebab hari ini, yang jadi orang-orang bukan Islam jadi takut dengan
hukum hudud kerana kefahaman yang diberikan atas dasar ideologi politik.
Apa yang kita tengok yang paling penting hari ini,
untuk mendaulatkan lagi, hal ini orang Islam kena bersatu hati, kita letak
dekat luar dulu elemen kepartian itu, kita duduk bersama bagi fahamkan orang
bukan Islam bahawa hukum hudud ini ialah hukum yang kami kena wajib laksanakan
di masa yang sama dia berkaitan dengan kami dan mereka juga ada undang-undang
lain," kata beliau.
Dalam masa yang sama, untuk melaksanakan hukum
hudud, setiap pihak perlu mengambil kira keselesaan dan penerimaan penduduk
yang berbilang kaum agar tidak timbul keresahan dan kegusaran terutamanya di
kalangan orang bukan Islam.
"Kerajaan patut kumpul cendiakiawan, ilmuan
yang hebat-hebat, yang mana mereka ini mengkaji dari segi ilmiah, bagaimakah
pelaksanaan hukum hudud, dalam konteks Malaysia," katanya. –AntaraPos.com
No comments:
Post a Comment