KUANTAN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
menggesa kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya mendidik sayap
Pemudanya agar lebih beradab terhadap pemimpin negara.
Sambil menyifatkan tindakan memijak gambar Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipercayai didalangi oleh Angkatan Muda
Keadilan (AMK) sebagai biadap, Zahid berkata perbuatan itu tidak sesuai
dilakukan terhadap pimpinan tertinggi negara meskipun mereka mempunyai ideologi
politik yang berbeza.
"Biarpun berbeza agama dan organisasi politik kita tak
boleh hina, termasuk pijak walaupun gambar (Najib) sebab ia merupakan simbol
kepada pemimpin kita. "Saya rasa kepimpinan tertinggi PKR perlu menasihatkan
AMK supaya lebih beradab dalam berpolitik, sebab di negara ini kita tidak
mengamalkan budaya sedemikian," katanya ketika diminta mengulas insiden
berkenaan pada malam ambang merdeka di Dataran Merdeka Khamis lepas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan
bersama kira-kira 60 pengamal media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) Kuantan di sini, Isnin.
Dalam pada itu beliau berkata rakyat terutama golongan muda
patut menilai setiap tindakan yang dilakukan pihak pembangkang sebelum memilih
mereka sebagai pemerintah.
Pembangkang, katanya, selain mengajar rakyat menghina
pemimpin, mereka juga sering dilihat tidak bersatu dalam banyak tindakan yang
mereka lakukan.
Ini dapat dilihat apabila PAS sendiri tidak menyokong insiden
malam ambang merdeka itu yang disifatkan tidak menepati budaya dan tatasusila
rakyat negara ini yang sopan santun dan menghormati pemimpin.
"Kita tahu kejadian berkenaan turut tidak dilakukan PAS,
malah DAP juga mungkin memberikan reaksi yang berbeza...banyak perkara yang
tidak disepakati bersama sebab kita tahu pakatan mereka ini ibarat perkahwinan
muta'ah, iaitu pakatan yang sementara.
"Justeru golongan muda perlu sedar
akan hal ini dan lihat siapa yang lebih beradab dalam menguruskan politik
negara ini," katanya.
Zahid dan para pengamal media pada lawatan selama enam jam
itu turut dipertontonkan dengan aksi terjunan pasukan khas udara (PASKAU) dari
ketinggian 10,000 kaki dan simulasi operasi menyelamat pesawat yang dirampas
oleh pengganas. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment