KUALA
LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia mencadangkan agar sebuah suruhanjaya tetap dan
bebas ditubuhkan untuk menjalankan kajian serta menasihati parlimen berkaitan
pembaharuan undang-undang.
Presidennya
Lim Chee Wee bagaimanapun berkata suruhanjaya yang ditubuhkan ini perlu
terbabit dalam perundingan secara terangkum, terbuka dan telus.
"Anggota
suruhanjaya ini boleh diambil daripada kalangan hakim, peguam, ahli akademik
dan masyarakat sivil yang berpengetahuan mendalam serta berpengetahuan
luas," kata Lim ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa
Undang-undang Malaysia 2012 di sini, Rabu.
Lim berkata
suruhanjaya pembaharuan undang-undang ini, yang bertanggungjawab kepada
parlimen, boleh dan sewajarnya mendapat bantuan daripada Pusat Kajian
Undang-undang dan Perundangan Antarabangsa.
Merujuk
kepada hukuman ringan yang dikenakan terhadap dua lelaki yang merogol gadis
bawah umur baru-baru ini, beliau berkata kemarahan yang disuarakan banyak pihak
berhubung perkara itu menunjukkan perlunya langkah tertentu diambil untuk
memberi kefahaman mendalam tentang isu berkenaan.
Sehubungan
itu, kata beliau, badan itu menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan akan menimbang
untuk menubuhkan majlis hukuman bagi memastikan wujudnya ketekalan dalam
hukuman yang putuskan oleh mahkamah.
Bercakap
pada sidang akhbar kemudian, Lim berkata penerimaan dana asing bukan suatu
kesalahan selagi ia mematuhi undang-undang negara.
Malah, kata
beliau, Badan Peguam Malaysia juga menerima dana asing untuk projek tertentu.
BERNAMA/MStar
No comments:
Post a Comment