SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Pusat
melalui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu air di
negeri itu.
Menteri
Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu akan dinyatakan melalui
surat balas yang akan dihantar kepada Muhyiddin.
"Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menjemput Tan Sri Muhyiddin Yassin
untuk bersama-sama membincangkan isu air dan jemputan itu akan dinyatakan
melalui surat saya kepada beliau yang akan dihantar selewat-lewatnya dalam
tempoh dua hari ini," katanya kepada pemberita, di sini, Rabu.
Beliau berkata
kerajaan negeri percaya perbincangan itu akan membawa keputusan positif kepada
industri air serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Saya
kira Timbalan Perdana Menteri perlu tahu beberapa isu yang perlu diselesaikan
sebelum kerajaan negeri boleh membuat tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi
yang sekarang ini diberi tempoh lanjutan untuk beroperasi dari bulan ke bulan
oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya.
Kerajaan
persekutuan telah menghantar surat kepada kerajaan Selangor pimpinan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu air yang dibangkitkan termasuk mengenai
soal pengambilalihan syarikat konsesi.
Muhyiddin
yang dilantik kabinet untuk menyelesaikan isu berkenaan, sebelum ini berkata
surat itu dihantar pada 19 September lepas.
Surat itu
sebagai respons kepada perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Selangor
berhubung isu tersebut untuk penstrukturan semula bekalan air.
No comments:
Post a Comment