KUALA LUMPUR - Hukuman bagi kesalahan merogol gadis di bawah umur 16 tahun seharusnya kekal diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.
Beliau berkata,
hukuman bagi kesalahan itu tidak wajar ditetapkan kepada satu hukuman
semata-mata kerana ada faktor yang perlu dipertimbangkan seperti fakta kes
sebelum pesalah dikenakan hukuman berat atau ringan.
"Dalam
kes seorang lelaki tua merogol gadis bawah umur, dia memang layak diberikan
hukuman paling berat iaitu penjara dan sebatan. Tiada persoalan dalam hal itu.
"Tetapi
dalam kes yang melibatkan pasangan remaja, adakah remaja perempuan itu tidak
bersalah langsung?
"Saya
katakan kedua-duanya bersalah dan adakah adil jika hanya lelaki itu yang
dihukum?" katanya sambil menambah kata laporan polis pada kebiasaannya
dibuat ibu bapa perempuan yang menjumpai diari anak mereka.
Sehubungan
itu, Zaki berpendapat cadangan untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi
kesalahan merogol gadis bawah umur harus dikaji secara menyeluruh bagi
mengelakkan berlaku ketidakadilan.
Beliau
ditemui selepas sesi dialog Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan
Awam (SKMTPA) di Kompleks Kraf di sini, hari ini.
Katanya,
ketidakadilan juga boleh berlaku dalam kes sumbang mahram sekiranya hanya
lelaki dihukum sedangkan ada di antara kes yang pernah berlaku membabitkan
wanita yang lebih berusia.
"Perkara
ini perlu dilihat dalam sudut yang lebih luas. Pada saya, penyelesaian terbaik
adalah dengan menekankan bahawa remaja tidak boleh melakukan hubungan seks
sehingga mereka berkahwin," katanya.
Beliau
berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam, bahawa
kerajaan memberi kebenaran kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda Seksyen
376 supaya mereka yang didapati bersalah merogol gadis di bawah umur dijatuhi
hukuman penjara mandatori dan tidak boleh merujuk seksyen lain bagi meringankan
hukuman.
Mohamed
Nazri berkata, pindaan yang dicadangkan itu bertujuan supaya hukuman penjara
mandatori di bawah Seksyen 376 dikekalkan, dan hakim tidak boleh mengguna pakai
Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberikan mahkamah kuasa
budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.
Keputusan
untuk meminda seksyen itu dibuat berikutan jumlah kes rogol melibatkan gadis
bawah umur yang terlalu tinggi, selain bagi memelihara golongan itu daripada
terdedah kepada jenayah berkenaan tanpa sebarang perlindungan. – BERNAMA/UtusanOnline
No comments:
Post a Comment