Phnom Penh: Tindakan PAS mendoakan kemusnahan
UMNO dan Barisan Nasional (BN), bukan cara Islam, malah ia menghancurkan
kredibiliti PAS.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak berkata UMNO tidak pernah mendoakan kehancuran PAS.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata,
biasanya orang mendoakan kebaikan kepada pihak lain seperti memohon supaya
dipanjangkan umur dan negara selamat.
“Tidak pernah... dan dalam Islam pun, itu
bukan cara Islam. Itu cara bertentangan dengan prinsip Islam sebab doa adalah
untuk kebaikan.
“Ini sangat tidak Islamik... ini akan
menghancurkan kredibiliti PAS,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini,
semalam.
Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang
Kemuncak ASEAN Ke-21 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang
bermula semalam
Perdana Menteri diminta mengulas tindakan PAS
yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO dihancurkan di Stadium
Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam Jumaat lalu.
Solat hajat itu diimamkan adik Mursyidul Am
PAS, Nik Razi Nik Mat. Antara kandungannya ialah meminta UMNO dan BN
dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan
Namrud serta Abu Lahab dilaknati.
Doa juga memohon supaya pembangkang mendapat
jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Di Gold Coast, Australia, mengulas isu sama,
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdoa untuk
menghancurkan orang Islam lain seperti dilakukan PAS bukan amalan Islam.
Katanya, orang Islam sepatutnya berdoa supaya
penganut seagama mendapat hidayah dan kebaikan, bukannya musibah.
Walaupun UMNO dan PAS berbeza pandangan dari
segi politik, ahli kedua-dua parti adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Saya tidak
tahu kalau mendoakan agar umat Islam lain berpecah itu budaya dan amalan PAS.
Tetapi, kalau berdoa untuk menjahanamkan kita,
itu bukan Islam sejati, katanya mengakhiri lawatan sembilan hari ke Australia.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO
berkata, doa seperti itu bukan amalan yang baik kerana UMNO dan BN juga
berjuang untuk Islam.
PAS juga mendapat nikmat daripada perjuangan
UMNO. DAP juga mendapat nikmat daripada perjuangan UMNO. Seluruh rakyat
Malaysia mendapat nikmat perjuangan BN, katanya.
No comments:
Post a Comment