Serdang:
Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis akan diperluaskan jika operasi itu
berkesan mengurangkan jenayah serta bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu
menikmati kesejahteraan hidup.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kajian keberkesanannya dinilai semula dalam
enam bulan selepas pelancarannya semalam.
Katanya,
jika ‘buddy system’, iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa
didapati berkesan dan amat berfaedah, kerajaan sanggup menambah bilangan
anggotanya.
Beliau
berkata, URB yang diumumkan dalam Bajet 2013 sepatutnya dilaksanakan pada bulan
depan tetapi dipercepatkan pada bulan ini kerana kerajaan sangat serius dan
komited memerangi jenayah.
Komited perangi jenayah
“Tak payah
tunggu Bajet 2014... Bajet 2013 kita boleh tambah lagi untuk tunjuk yang kita
komited dan serius memerangi jenayah,” katanya ketika melancarkan URB di Bandar
Kinrara, Puchong di sini, semalam.
Hadir sama
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara,
Tan Sri Ismail Omar.
Ketika
membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan
mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membeli 1,000 motosikal menerusi URB
untuk mengurangkan jenayah khususnya pemantauan kawasan perumahan.
Najib
berkata, URB akan melakukan rondaan 24 jam di kawasan perumahan dalam tiga
syif, iaitu empat jam setiap syif serta kawasan sibuk seperti kawasan
perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.
Bermula di 4 negeri
Katanya,
pada peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal Kawasaki
Ninja 250 dilengkapi sistem lampu dan siren disediakan untuk program di empat
negeri, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Beliau
berkata, jika ada rondaan terutama pada waktu malam, kadar jenayah dapat
dikurangkan kerana peluang melakukan jenayah akan tertutup.
“Jika
mereka melihat ada peluang penjenayah akan melakukan jenayah seperti pecah
rumah dan curi kereta atau motosikal kerana mereka dapat melarikan diri dan tak
dapat diberkas polis. Di sinilah keberkesanan URB untuk membanterasnya,”
katanya.
No comments:
Post a Comment