Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, tokoh agama dan mufti
negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang
buat julung kalinya kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi
memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.
Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat
keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar
belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak
daripada kita".
"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh
diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi
seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan
pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru
1Malaysia di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Presiden Pas itu, katanya harus bersedia
untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana
yang sesuai.
Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat
tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu
adalah muktamad.
Menurut Rais, Hadi bukan ahli
jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah
seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula
berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.
Rais juga berharap Hadi akan menarik
balik tuduhan kafirnya ke atas pengikut Umno semasa berlangsungnya program itu
dan jika beliau mahu meneruskan amanatnya, Hadi harus mendengar pandangan
daripada tokoh-tokoh agama lain yang akan turut serta.
"Sehingga kini, belum ada lagi
permohonan rasmi dari Hadi tetapi segala perancangan untuk menyediakan
rancangan berbentuk forum tanpa kehadiran penonton studio itu sedang
berjalan," katanya.
Rais menjelaskan demikian ketika
mengulas mengenai hasrat Hadi yang mahu muncul dalam kaca televisyen secara
langsung selama sejam untuk menerangkan keadaan sebenar berhubung isu pepecahan
umat Islam selepas mengeluarkan amanatnya yang mengkafirkan Umno pada 1981, di
Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Rais meminta parti-parti
politik dalam negara ini supaya bersatu dalam konteks kemasyarakatan Malaysia.
Malaysia harus dibantu tanpa mengira
latar belakang politik, agama dan budaya supaya negara ini terus mendapat
tempat tertinggi dalam aturan keduniaan dan antarabangsa, katanya.
"Kita perlu bersatu dalam konteks
di luar politik dan bukan hanya politik sahaja yang boleh satukan kita, tetapi
perasaan kekitaan sebagai rakyat Malaysia," katanya.
"Orang PKR (Parti Keadilan Rakyat)
perlu jayakan anak mereka, orang Umno pun sama, kita tidak boleh terlalu banyak
berlopak dalam politik sampai kita lupakan negara dan kewarganegaraan
kita," katanya.
Ahmad Maslan: Hadi Disyor Perjelas Amanat Di Sidang Ahkbar, Web TV
Di PUTRAJAYA, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula mengesyorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Di PUTRAJAYA, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula mengesyorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Menurut Ahmad tindakan Presiden Pas itu
yang hanya mahu tampil di stesen televisyen tertentu seperti Radio Televisyen
Malaysia (RTM) dan TV3, seolah-olah mempunyai agenda tersendiri.
"Mungkin ada tujuan-tujuan
tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia
boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar
negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kopitiam
Killiney Putrajaya di sini, hari ini.
Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu
lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi
tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi
penjelasan.
"Mudah-mudahan dia akan tarik
amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat
itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri
Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Walaupun tak nampak apa salah
perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun
padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan
pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri. – Bernama/Sinar Harian Online
KD: Amanat kontroversi..
No comments:
Post a Comment