SHAH ALAM -
Tindakan Pakatan Rakyat (PR) mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini
menunjukkan pihak berkenaan sudah rasa tertekan dalam menghadapi Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13), kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor.
“Saya pun
tak tahu mengapa mereka mahu menganjurkan satu tunjuk rasa tetapi umumnya ia
dilakukan oleh kerana rasa tertekan,” kata beliau dipetik Umno Online, hari
ini.
Himpunan
Kebangkitan Rakyat diadakan antara lain untuk memberi tekanan ke atas kerajaan
menjelang PRU13 bagi menyelesaikan isu-isu yang belum menemui penyelesaian.
“Saya tahu,
mereka mahu mengadakan himpunan ini kerana pada 2013 ini mereka akan mencapai
kemerosotan yang ketara dalam PRU, tidak menang dan kemudiannya mereka akan
menuduh BN menipu dan SPR tipu.
"Inilah
masalahnya apabila mereka akan lihat apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan
sebagai salah,” kata beliau yang Setiausaha Agung Umno.
Jelas beliau
lagi, segelintir pihak yang bertindak sedemikian mahukan sesuatu yang tidak
diingini tercetus, malah mereka seolah-olah tidak rela kesatuan dalam
kepelbagaian yang menjadi agenda negara diteruskan.
“Persoalannya
kenapa perlu ada tunjuk rasa? Kalau nak kata SPR tak betul, maka tak mungkin mereka
akan ada wakil rakyat dalam Parlimen.
"Kalaulah
SPR ini ikut telunjuk Barisan Nasional, maka sudah pastilah 99.99 peratus
adalah berpihak kepada BN dalam pilihan raya tapi SPR merupakan satu badan yang
bebas, yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya.”
Tengku Adnan
yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, rakyat Malaysia perlu disedarkan
dengan sandiwara mereka kerana ramai orang yang cemburu dengan kedudukan negara
ini yang mampu mengekalkan prestasi baik biarpun sebuah negara kecil.
“Saya
berkeyakinan mereka yang nak menunjuk rasa ini mahu mendapat perhatian daripada
luar negara, kawan-kawan mereka yang ada di luar negara terutamanya yang
membiayai mereka kerana kalau tidak ada perbuatan sedemikian maka pembiayaan
tidak akan dilaksanakan maka ini yang terpaksa dilakukan.
“Kalau nak
bandingkan negara ini dengan negara-negara yang merdeka atau yang dekat dengan
kita ternyata kita lebih maju daripada orang lain dengan kaedah ‘unity in
diversity’. Mereka mahukan satu kaedah kekacauan dan kucar-kacir berlaku dalam
negara kita ini.
“Lebih
malang lagi apabila ada orang Malaysia sendiri yang diperguna sebagai tali
barut kepada pihak lain," kata beliau lagi. –Sinar Harian
No comments:
Post a Comment