-Rencana oleh: Muhamad Mat Yakim & Nor Atieyah Yusoff –
Sinar Harian
Bukan mudah
sebenarnya untuk orang ramai terutama umat Islam memahami pendirian Pas sebagai
anggota komponen Pakatan Rakyat (PR) dalam isu penggunaan kalimah ALLAH oleh
penganut Kristian.
Meskipun
Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam perkara satu kenyataan
medianya kelmarin menyebut bahawa Pas konsisten dengan pendirian awalnya
sebagaimana yang dinyatakan pada 4 Januari 2010 iaitu tidak menghalang penganut
agama lain menggunakan kalimah itu, pendirian Pas yang bersetuju kalimah
tersebut digunakan oleh orang Kristian dengan syarat tertentu, masih juga tidak
berupaya untuk menghapuskan keraguan dalam kalangan orang Islam.
Ini merujuk
pada perkara tiga kenyataan media itu yang menyebut kalimah ALLAH tidak wajar
disalahgunakan oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan
kekeliruan. Manakala pada perkara dua pula, pemimpin Pas itu mengakui 'ALLAH'
tidak boleh diterjemah ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.
Sesungguhnya
amat sukar apabila kebenaran sudah diberi (dengan mengandaikan PR sebagai pihak
berkuasa), bagaimana caranya untuk memastikan penggunaan kalimah ALLAH oleh
bukan Islam tidak akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam,
khususnya dalam konteks masyarakat di negara ini.
Inilah antara
perkara yang perlu diberikan penjelasan menyeluruh oleh pemimpin-pemimpin Pas,
tambahan pula sebelum ini mereka sendiri memberikan pelbagai pendapat yang
bukan sahaja berbeza malah bercanggah.
Paling tegas
tidak bersetuju kalimah ALLAH digunakan oleh bukan Islam ialah timbalan
mursyidul am parti itu, Datuk Dr Haron Din yang dalam kenyataan pada 4 Januari
2010 - hari yang sama Abdul Hadi menyatakan pendirian Pas tidak menghalang
bukan Islam menggunakan kalimah itu - berkata, mana-mana penganut Islam yang
menyokong keputusan mahkamah membenarkan bukan Islam mengguna pakai kalimah itu
dalam akhbar Herald The Catholic Weekly boleh membawa kepada kekufuran.
Sebagai
ulama yang diiktiraf kewibawaannya oleh pelbagai pihak di dalam dan luar
negara, ketegasan Dr Haron dalam perkara itu sudah tentu tidak boleh dipandang
ringan.
Bukan Dr
Haron sahaja, dan bukan kenyataan pada 2010 itu sahaja, dalam masa beberapa
minggu kebelakangan ini pun, beberapa pemimpin besar dalam Pas termasuk
Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali; Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Harun Taib;
Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pesuruhjaya Selangor, Dr Abdul
Rani Osman mengatakan bahawa bukan Islam tidak wajar menggunakan kalimah ALLAH,
yang dalam bahasa Inggerisnya, God dan apabila diterjemah, harus menjadi Tuhan,
bukan ALLAH.
Tetapi
malangnya, Pas atas nama kerjasama politik dengan DAP dan PKR sebaliknya
membuat pendirian yang berbeza sebagaimana yang diumumkan presidennya semalam.
Sehubungan
itu, Sinar Harian bukan dengan maksud mahu mengeruhkan keadaan, apa lagi
melagakan mana-mana pihak atau mencetus provokasi, cuba untuk menghubungi
mereka untuk mendapatkan pencerahan.
Ini termasuk
Dr Haron sendiri sebagai tokoh utama Pas. Malangnya, dua kali nombor telefonnya
didail, tidak berjawab.
Demikian
juga usaha kami untuk menghubungi Ketua Dewan Pemuda, Nasrudin Hassan yang
selama ini diketahui suka bercakap (mudah buat kenyataan media). Pun juga
kedua-dua panggilan ke telefon bimbitnya - tengah hari dan petang semalam -
tidak berjawab.
Namun usaha
wartawan kami boleh dikira berbaloi apabila Tuan Ibrahim seperti kebiasaannya,
sudi menjawab panggilan petang semalam. Beliau sememangnya sentiasa menampilkan
sikap terpuji, tidak kira dalam apa jua keadaan.
Menjawab
soalan kami, Tuan Ibrahim berkata, Pas tetap menentang keras penggunaan kalimah
ALLAH dalam situasi yang menggambarkan
ALLAH sebagai makhluk atau mempunyai anak, namun tidak menghalang orang bukan
Islam menggunakan kalimah itu dalam penghayatan keagamaan mereka.
Menurut
beliau, dalam kenyataannya sebelum ini, apa yang dirujuk hanya dalam konteks untuk
menterjemah perkataan 'God' dalam Bible versi bahasa Inggeris ke bahasa Melayu,
yang lebih sesuai dan tepat diterjemah sebagai Tuhan, bukan ALLAH.
"Tetapi
apabila orang bukan Islam mahu menggunakan kalimah ALLAH dalam upacara doa atau
penghayatan keagamaan mereka di gereja, kami tiada hak untuk menghalang.
Perkara ini sudah lama berlanjutan.
"Jika
dihalang mereka menggunakan kalimah ALLAH, Pas juga mahu mencadangkan supaya
Rukun Negara yang pertama, kepercayaan kepada Tuhan diganti dengan kepercayaan
kepada ALLAH," katanya.
Tuan Ibrahim
berkata, Pas tidak menghalang penggunaan kalimah ALLAH dalam konteks
penghayatan keagamaan, bukan menukar perkataan 'Tuhan' menjadi ALLAH.
"Itu
(tukar Tuhan kepada ALLAH), tidaklah wajar dilakukan. Penggunaan perkataan
ALLAH dalam Bible boleh diterima namun perkataan ‘God’ (Tuhan) tidak boleh
ditukar menjadi ALLAH. Ini boleh menimbulkan kekeliruan.
“Ia salah
dari segi agama (Islam) dan umat Islam percaya bahawa ALLAH adalah Tuhan
seluruh alam, tidak menyerupai mana-mana makhluk atau mempunyai zuriat,”
katanya.
Menurutnya,
kenyataan Abdul Hadi dalam isu kalimah ALLAH tidak bercanggah dengan Islam,
malah kedua-dua perkara tersebut merupakan aspek yang berlainan.
Selain ulama
Pas, Sinar Harian juga berusaha untuk mendapatkan kenyataan daripada
tokoh-tokoh ulama lain termasuk Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria;
Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan
Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman.
Malangnya,
usaha menghubungi mereka tidak berjaya.
Sama ada
kenyataan Tuan Ibrahim boleh dianggap pencerahan atau sedikit sebanyak mampu
merungkai kekeliruan, itu boleh dinilai sendiri oleh pembaca. Kami seboleh
mungkin akan berusaha untuk mendapatkan pencerahan yang sebenar daripada Abdul
Hadi sendiri.
Semoga
Presiden Pas itu sudi bersemuka dan menjawab soalan kami, demi untuk anda,
pembaca Sinar Harian dan semua orang Islam.
No comments:
Post a Comment