KUALA
LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang
menyiasat tindakan segelintir peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat yang
membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan di Stadium Merdeka, Sabtu lepas.
Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, tindakan akan
diambil berhubung perkara yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan
Aman 2012 selepas kertas siasatan dikemuka kepada peguam negara.
"Saya
nak ingatkan walaupun ada pindaan-pindaan, itu bermakna pelaksanaan
undang-undang negara mesti dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas
Majlis Perasmian Persidangan Transformasi Perundangan berhubung keselamatan dan
hak asasi hari ini.
Dalam pada
itu, Hishamuddin melahirkan penghargaan kepada PDRM kerana berjaya mengawal
perhimpunan pada Sabtu lepas sehingga berjalan lancar tanpa sebarang insiden
tidak diingini.
"Saya
bersyukur kerana tiada insiden tidak diingini berlaku, kalau semuanya bertanggungjawab
dan bersetuju dengan stadium yang ditetapkan, tiada provokasi, saya percaya
bahawa apa yang kita lihat pada Sabtu itu adalah landskap baru," katanya.
Pada
perhimpunan itu, peserta didapati melanggar tiga syarat yang ditetapkan iaitu
membawa kanak-kanak berumur bawah 15 tahun, membawa plakad, sepanduk dan kain
rentang berunsur hasutan selain peserta perhimpunan melebihi 30,000 orang.
Syarat itu
antara 27 yang dipersetujui penganjur dan polis mengikut Seksyen 15(1) Akta
Perhimpunan Aman 2012.
Peguam
Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tindakan undang-undang akan diambil
terhadap mereka yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan sekiranya bukti-bukti
lengkap dapat dikemukakan. Akta
Perhimpunan Aman 2012 telah menetapkan larangan penyertaan kanak-kanak dan ia
sepatutnya dipatuhi kerana golongan itu harus dilindungi .
"Undang-undang
telah tersedia ada, sekiranya terdapat bukti kita (pendakwaan) akan mengambil
tindakan, sekiranya tiada (bukti) kita tidak boleh mengambil tindakan. saya
tidak terlebih dahulu menghukum,"
katanya yang ditemui pemberita selepas sidang pleno dalam Persidangan
Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini
hari ini.
Katanya,
larangan penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan awam bukan sahaja ditetapkan
di negara ini tetapi juga diamalkan di beberapa negara Eropah.
Akta
Perhimpunan Aman 2012 melarang mereka yang berusia di bawah 15 tahun menyertai
atau dibawa ke sesuatu perhimpunan.
Pada Sabtu
lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis
mendapati penganjur perhimpunan di Stadium Merdeka melanggar beberapa syarat
yang dipersetujui termasuk membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun. – Sinar Harian
No comments:
Post a Comment