KUALA
LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harapan dan
jangkaan rakyat terhadap kerajaan telahpun meningkat, dan ini perlu difahami
sebaik-baiknya bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan
raya umum akan datang.
Najib, yang
juga pengerusi BN, berkata menyedari hakikat ini, kerajaan berazam untuk
melakukannya dengan cara berbeza dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.
"Kita
perlu menyedari bahawa rakyat tidak akan memberi undi mereka berdasarkan
setakat manakah sumbangan anda sebelum ini.
"Tetapi
rakyat akan mengatakan, 'apakah yang boleh anda lakukan sekarang dan bagi masa
depan," katanya dalam wawancara bertajuk 'An Insight, An Idea with Mohd
Najib Tun Abdul Razak' yang disiarkan CNN pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang
berlangsung di Davos, Switzerland.
Najib turut
menarik perhatian bahawa tiada siapapun yang boleh menafikan hakikat bahawa
Umno dan BN meneruskan agenda pembangunan selepas berjuang untuk kemerdekaan
negara.
Mengenai
kegagalan BN untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 2008,
Najib memperjelaskan antara faktornya adalah rakyat menjadi semakin kritikal
sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, selain penggunaan media sosial.
Di akhir
wawancara itu, perdana menteri ditanya mengenai perancangannya jika diberi
mandat memerintah oleh pengundi pada pilihan raya umum ke-13 negara ini.
Beliau
menjawab dengan mengatakan kerajaan telahpun menyatakan dengan jelas mengenai
hasratnya untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
"...dan
saya komited untuk melakukan apa saja yang boleh agar harapan itu menjadi
kenyataan, memang itulah yang akan saya lakukan." - Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment