KUCHING —
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini meminta semua pihak supaya mengelak
daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara berkaitan dengannya yang
disebut dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu
pendatang asing tanpa izin di Sabah.
Pengerusinya
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, oleh kerana siasatan RCI masih
berterusan, maka adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak memberi komen yang
menyalahkan mana-mana pihak berhubung perkara yang ditimbulkan dalam prosiding
itu.
“Janganlah
buat sebarang kesimpulan sebelum prosiding ini selesai. Janganlah tuduh SPR itu
dan ini. Tak tepat. Belum habis. Tunggulah sampai habis. Kita hormatilah RCI,”
katanya.
Bercakap
pada sidang akhbar, beliau berkata memberi komen ketika ini samalah seperti
membuat kesimpulan tentang kesudahan cerita dalam sebuah filem yang belum habis
ditayang.
“Pada awal
cerita dalam filem tu, hero kena tembak. Tapi, janganlah buat kesimpulan hero
tu dah mati. Pada penghujung cerita, rupa-rupanya dia pengsan saja,” kata
beliau.
Mengenai
persiapan SPR untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, Abdul Aziz
berkata suruhanjaya itu dianggar memerlukan RM78 juta untuk melaksanakan
tugasnya di Sarawak, dengan lebih separuh daripada jumlah itu diperlukan untuk
menyewa kenderaan untuk kegunaan petugasnya.
Katanya
jumlah yang diperlukan itu adalah yang paling tinggi berbanding untuk negeri
lain berikutan keluasan Sarawak.
Terdahulu,
beliau menyerahkan surat pelantikan kepada lapan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang dilantik sebagai pemerhati tempatan bagi PRU ke-13 di Sarawak.
Dalam
ucapan pada majlis itu, Abdul Aziz berkata empat persatuan iaitu Persatuan
Kebangsaan Dayak Bidayuh, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu, Persatuan Belia Islam
Nasional Cawangan Sarawak dan Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak akan memantau
proses pilihan raya di kawasan Kuching. Persatuan Melanau Sibu dan Dewan
Perniagaan Cina Sibu akan bertindak sebagai pemerhati bagi kawasan Sibu,
manakala Persekutuan Orang Ulu Malaysia dan Persatuan Cina Miri menjadi pemerhati
bagi kawasan Miri, katanya. -Bernama/Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment