MANADO —
Pengamal media terutamanya wartawan perlu menjadi golongan pemikir atau
pengkritik yang sentiasa mementingkan keharmonian hubungan antara negara dalam
setiap penulisan yang dihasilkan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Malaysia Datuk Seri Rais Yatim.
Beliau
berkata dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia, wartawan menjadi antara
komponen terpenting dari segi penerapan pemikiran sama ada memilih untuk
melaporkan perkara yang benar atau sebaliknya.
Dalam
ucaptama pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) dan
Hari Ulang Tahun Persatuan Wartawan Indonesia ke-67 di sini malam tadi, Rais berkata
walaupun media dan wartawan bebas menulis, melapor dan mengkritik apa sahaja,
namun mereka juga harus berpegang kepada semangat negara serumpun yang sekian
lama menjalin hubungan harmoni dan saling menghormati.
“Kita
berasas kepada yang sama, rumpun yang sama tetapi persamaan itu jika kita
sebagai penulis tidak berupaya menterjemahkannya kepada khalayak, setiap
kebersamaan itu tidak menjamin apa-apa.
“Untuk itu
kita semua harus berfikir apa akan terjadi kepada rumpun Melayu jika kita
sebagai penulis tidak melaksanakan peranan itu dari sudut menyemarakkan erti
kemanusiaan dan hubungan serumpun,” katanya.
Hadir sama
isteri beliau Datin Seri Masnah Rais, Gabenor Sulawesi Utara SH Sarundajang dan
Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Menjadi
menteri pertama daripada luar Indonesia yang diberikan peluang berucap pada
majlis yang menghimpunkan lebih 1,000 wartawan itu, Rais turut menarik
perhatian bahawa kedatangannya ke Manado adalah beserta impian untuk mencapai
hasrat persaudaraan seterusnya mencantum dan mengukuhkan lagi persahabatan yang
sedia terjalin.
Mengakui
peranan media dan tugasan wartawan adalah sebagai penulis, penyampai dan
pengkritik, beliau berkata ia mampu memberikan kesan yang cukup bermakna dalam
sesuatu pemberitaan jika elemen itu dapat dicantumkan dengan sempurna.
Beliau
berkata sebagai penulis, terutamanya di Indonesia yang ternyata bebas
melaporkan setiap perkara, pemberitaan itu tetap perlu diisi perimbangan dari
aspek kepentingan kemanusiaan selain mengambil kira faktor perundangan.
Oleh itu,
katanya, perkara baik yang terjadi seperti kemampuan rakyat negara itu yang
bekerja di Malaysia menghantar kira-kira RM6 bilion setahun ke Indonesia dan
lebih 90 peratus peniaga di Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur adalah dari
Indonesia juga perlu diberi liputan sewajarnya.
“Justeru,
sebagai penulis kita perlu sentiasa tanam rasa tanggungjawab dalam setiap
penulisan bagi mengelak apa yang dihasilkan boleh menyebabkan orang lain
menjadi marah,” katanya.
Selain itu,
Rais juga menyarankan supaya program televisyen membabitkan TVRI dan RTM yang
terbukti memberi kesan baik dalam hubungan kedua-dua negara dihidupkan semula
dengan diberikan pengisian baharu di samping program secara langsung radio
gabungan penyampai Malaysia-Indonesia juga harus diaktifkan kembali.
Sementara
itu, Rais ketika ditemui media selepas tamat acara berkata beliau berbesar hati
diberi penghormatan bagi menyampaikan ucaptama seterusnya dapat menyampaikan
hasrat perhubungan yang lebih jelas kepada seluruh pengamal media yang hadir.
“Ia
terhasil menerusi peranan yang dimainkan oleh Ikatan Setiakawan
Malaysia-Indonesia dan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia dan inisiatif
murni ini harus diteruskan bagi memartabatkan perjuangan serumpun,” katanya. —
Bernama/Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment