KOTA
KINABALU— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang merupakan arkitek
gagasan 1Malaysia, adalah pemimpin yang boleh membawa negara ini ke arah masa
depan yang lebih baik, kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut
Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok.
Oleh itu,
beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengajak rakyat
memberikan mandat yang besar kepada Najib pada pilihan raya umum akan datang,
sekali gus memastikan kesinambungan agenda pembangunan negara.
“Selama
bekerja dengan tiga Perdana Menteri, saya lihat Najib, sebagai Perdana Menteri,
sentiasa inginkan pembaharuan, dan Najib adalah pemimpin yang dapat membawa
kita ke arah yang lebih baik,” katanya.
Antara
pembaharuan yang dilakukan Najib ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) 1960, pindaan terhadap Akta Polis, rayuan terhadap Akta Buang Daerah
1959, dan Akta Kediaman Terhad 1933, pemansuhan tiga Deklarasi Darurat, dan
pembentangan Rang undang-undang Ikatan Relawan Malaysia (RELA) 2012 yang
menghadkan kuasa mereka terhadap penggunaan senjata api dan kuasa untuk menahan.
Dompok
turut menghargai inisiatif para guru, lembaga sekolah dan Persatuan Ibu
Bapa-Guru (PIBG) KK High School yang melukis 15,000 logo 1Malaysia yang diharap
mendapat pengiktirafan dalam The Malaysian Book of Records.
Bercakap
kepada pemberita kemudian, beliau menyambut baik jaminan yang diberikan
Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin
bahawa kebajikan sekolah-sekolah mubaligh di negara ini tidak akan diabaikan
dan dikekalkan dalam sistem pendidikan nasional.
Sementara
itu, mengenai permohonan sekolah-sekolah mubaligh agar diberikan “bantuan khas
kewangan” daripada kerajaan, Dompok berkata dalam pertemuannya dengan Muhyiddin
bersama sekumpulan wakil sekolah mubaligh baru-baru ini, mereka dimaklumkan
bahawa isu itu akan diambil perhatian, dan kini dalam pertimbangan Kementerian
Pelajaran. — Bernama/Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment