
Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata usaha
mengatasi krisis air yang dilakukan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sekarang
mengambil masa terlalu lama dan tidak banyak rumusan dicapai.
“Saya meminta
kepada pucuk pimpinan kerajaan PKR Selangor supaya bekerjasama dengan kita bagi
menyelesaikan masalah air ini sementara Kerajaan Pusat melaksanakan pelan yang
diluluskan Kabinet bagi menangani krisis air.
“Saya harap kita boleh mencapai permuafakatan
dalam aspek tertentu dan wujudkan persefahaman supaya kita (kerajaan negeri dan
Kerajaan Pusat) dapat bekerjasama,” katanya pada satu sidang media.
Terdahulu,
beliau mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai daripada pelbagai agensi dan
jabatan di bawah kementerian yang baru diterajuinya.
Ongkili
berkata, walaupun ada kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat
sekarang, perkembangan yang dicapai tidak memberangsangkan manakala rakyat
terus dibelenggu masalah bekalan air.
Sehubungan
itu, beliau berharap dapat mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan secepat mungkin bagi mencari
jalan penyelesaian.
Ongkili
percaya beliau boleh meyakinkan pucuk pimpinan kerajaan PKR Selangor jika dapat
duduk semeja untuk berunding termasuk mengkaji semula langkah yang dipersetujui
sebelum ini, baik daripada segi perundangan atau sebaliknya.– BERNAMA/BHarian
No comments:
Post a Comment