KUALA LUMPUR - Malaysia merupakan negara
ke-6 di dunia yang berisiko tinggi terdedah kepada ancaman jenayah siber
berbentuk serangan malware, iaitu penipuan melalui sesuatu program sama ada
komputer atau telefon pintar.
Naib Presiden Penyelidikan CyberSecurity
Malaysia, Lt. Kol. (B) Sazali Sukardi berkata menurut laporan Laporan Ancaman
Keselamatan Sophos 2013 dalam tempoh tiga bulan tahun ini, selain Malaysia
terdapat sembilan lagi negara lain yang berisiko iaitu Hong Kong, Taiwan,
Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mexico, India, Filipina, Thailand, China dan
Indonesia.
"Penjenayah siber mencuri melalui kaedah
ini mencecah RM331.7 bilion dari seluruh dunia dengan kos purata sebanyak RM593
bagi setiap mangsa berdasarkan Laporan Jenayah Siber Norton 2012,"
katanya.
Beliau berkata demikian semasa
membentangkan kertas kerja bertajuk "Collaboration and Cooperation In The
Fight Against Cyber Crime" pada persidangan dua hari e-Crime, di sini,
hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jenayah siber di
negara ini mencatatkan penurunan iaitu daripada 15,218 kes pada 2011 kepada
9,986 kes pada 2012.
Sazali berkata penurunan itu adalah
disebabkan penguatkuasaan efektif yang dilakukan agensi penguatkuasaan kerajaan
termasuk CyberSecurity.
Beliau berkata penipuan adalah paling
tinggi dilaporkan dalam jenayah siber diikuti cubaan menceroboh, spam, penafian
perkhidmatan, pembulian siber, penipuan, kandungan yang berkaitan, kod berniat
jahat dan laporan kelemahan seperti fitnah melalui siber.
"Kita juga sedang menghadapi
ancaman keselamatan yang lebih banyak oleh organisasi jenayah antarabangsa yang
menyalahguna internet untuk pelbagai aktiviti haram iaitu dadah, penyeludupan
manusia, penipuan kewangan dan pengubahan wang haram, yang kesemuanya merentasi
sempadan," katanya.
Sazali berkata, jenayah siber akan terus
berkembang selagi penjenayah boleh mendapat keuntungan kewangan daripada sistem
komputer dan keadaan ini akan bertambah buruk disebabkan kecuaian pengguna
internet.
Sehubungan itu, katanya, CyberSecurity
akan terus menangani jenayah siber bersama agensi penguatkuasaan lain termasuk
Digital Malaysia, Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN), Sistem Pengurusan
Keselamatan Maklumat (ISMS), Pensijilan dan Penilaian Kriteria Seragam (MyCC),
dan Penyelarasan Pengurusan Krisis Siber Negara.
Justeru beliau meminta orang ramai
menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di talian 03-89926969 untuk
menyalurkan maklumat dan membuat laporan awam. -Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment