PUTRAJAYA - Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membidas pihak-pihak yang
enggan menerima kekalahan pada pilihan raya ke-13 (PRU13), yang sebaliknya menyalahkan pihak lain dengan
membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.
Beliau berkata pihak ini sengaja
mencari kesalahan orang lain kerana enggan mengaku kekalahan, dan bagi mereka,
pihak paling mudah untuk dijadikan 'scape goat' atau kambing hitam ialah SPR,
dengan menimbulkan pelbagai persepsi bagi menjejaskan integriti, kredebiliti
dan kecekapan badan itu.
Beliau memberi contoh tuduhan
mengenai bekalan eletrik yang terputus semasa pengiraan undi dijalankan yang
disebar banyak di laman-laman sosial, yang menurutnya selepas disiasat, perkara
itu tidak pernah berlaku.
"Mereka nak nampakkan SPR ini
tidak ada integriti, tidak 'credible', suka menipu, boleh buat
putus bekalan (elektrik), tukar keputusan dalam gelap. Saya rasa cerita yang
dibawa ini satu penipuan, pembohongan, dusta yang sangat melampau, sangat keji.
Kalau orang Islam yang buat ini dia memang tidak takut dosa besar nampaknya.
Sebab bila kita semak semua pihak, soal putus bekalan ini tidak pernah
berlaku," katanya pada sidangan media di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau juga mempersoalkan tindakan
pihak yang menyebar gambar kononnya pengiraan undi dibuat dalam gelap semasa
berlaku putus bekalan elektrik, kerana menurutnya perkara itu tidak pernah
berlaku, dan gambar itu mungkin dibuat menggunakan tipu helah kamera.
Abdul Aziz berkata persepsi merupakan
mainan penting dalam politik, dan pihak yang kalah biasanya akan berusaha
mencipta persepsi bahawa SPR ini satu badan yang tidak berwibawa, tidak
berintegriti, sedangkan ia hanya bertanggungjawab menyediakan gelanggang, bukan
menentukan siapa yang boleh menang atau kalah.
Beliau memberi contoh kenyataan
seorang ahli politik yang secara terangan mendakwa kononnya SPR langsung tidak
melaksanakan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan
Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, sedangkan menurutnya sebanyak 19 penambahbaikan
diperkenalkan pada PRU13 berasaskan kepada cadangan jawatankuasa ini.
Katanya ia boleh dilihat dengan
ketara seperti pengenalan dakwat kekal, tiada tempoh bantahan, calon tidak
boleh berundur, undi awal, dan banyak lagi, namun persepsi SPR tidak membuat
penambahbaikan tetap cuba dibangkitkan ahli politik itu semata-mata untuk
menjejaskan integriti dan kredibilitinya.
Abdul Aziz berkata dakwat kekal
diperkenalkan bagi mengelak pemilih mengundilebih dari sekali, walaupun dalam
sejarah negara ini tidak pernah dibuktikan ada orang yang mengundi lebih dari
sekali, namun SPR tetap menerima cadangan penggunaan dakwat itu secara positif.
Bagaimanapun menurutnya, ada pihak
sebaliknya sengaja cuba menjejaskan integriti SPR, berusaha sedaya upaya dengan
pelbagai cara untuk menghilangkan kesan dakwat itu, semata-mata untuk
menimbulkan keraguan orang ramai.
Namun menurutnya SPR tetap akan menerima segala teguran, mengkaji segala laporan daripada pelbagai pihak berhubung penggunaan dakwat kekal itu dan akan berusaha menambah baik aspek penggunaan dakwat kekal itu pada pilihan raya akan datang.
Merujuk kepada tohmahan mengenai
kewujudan pengundi hantu, Abdul Aziz berkata beliau merasa kesal dengan
tindakan sesetengah pihak yang terlalu bertindak mengikut emosi sehingga bukan
sahaja menimbulkan kekecohan, malah beliau difahamkan ada juga pemilih yang
dihalang dari menunaikan tanggungjawab mengundi, semata-mata kerana rupa
parasnya tidak seperti rakyat tempatan.
Beliau berkata saringan utama paling
penting dalam menentukan kesahihan pengundi adalah kad pengenalan, yang
kemudiannya akan dibandingkan dengan daftar pemilih, dan hanya SPR dan polis
sahaja yang berhak menahan seseorang untuk memeriksa kad pengenalannya.
"Saya diberitahu ada dua bas
bawa orang asing nak ke kilang ditahan oleh kumpulan pemantau dari parti yang
bertanding dengan kasar sekali, sudah tentu orang tu takut, lintang pukang
lari, kerana emosi itulah jadinya," katanya. - Bernama /Sinar Harian
No comments:
Post a Comment