KUALA LUMPUR - Tun Abdullah Ahmad
Badawi hari ini berkata pengganti beliau Datuk Seri Najib Tun Razak masih
menjadi pemimpin terbaik untuk menerajui negara selepas pilihan raya umum.
Bekas Perdana Menteri itu berkata
beliau memberikan sokongan penuh kepada Najib dan berharap perdana menteri akan
meneruskan agenda transformasi beliau.
"Rakyat Malaysia telah
memberikan isyarat jelas yang mereka mahukan perubahan dan Najib perlu respons
kepada itu dengan mempergiatkan lagi program transformasi beliau untuk
menangani isu seperti rasuah, jenayah dan kos hidup.
"Saya percaya beliau sudah
mempunyai strategi-strategi untuk melakukan penambahbaikan dalam bidang-bidang
berkenaan," kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan hari ini.
Abdullah yang melepaskan jawatan awal
2009 berkata, beliau juga ingin menyeru supaya rakyat bersatu padu dan sedia
untuk bermuafakat.
"Kita tidak boleh membiarkan
sebarang percubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu
perkauman.
"Tindakan tuduh-menuduh dan
menyalahkan mana-mana komuniti adalah tidak adil dan tidak memberi
manfaat," katanya. Abdullah juga mahu pihak pembangkang untuk menerima dan
menghormati keputusan pilihan raya.
"Rakyat Malaysia berhak untuk
menikmati kestabilan dan kepastian yang hanya tercapai apabila semua pihak
dapat memperakui keputusan pilihan raya.
"Marilah kita terus maju ke
depan demi kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya. -Sinar Harian
No comments:
Post a Comment