KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak menegaskan Umno bukan parti rasis kerana ia sentiasa
memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.
Najib yang juga Presiden Umno berkata
sejak ditubuhkan 67 tahun lepas, Umno menganggap bukan Melayu sebagai rakan
kongsi dan akan tetap mempertahankan dasar yang sederhana, adil dan saksama
kepada semua bangsa.
"Inilah formula terbaik Umno
(keadilan kepada semua), bukan formula keterlaluan untuk memancing undi tetapi
pada akhirnya memusnahkan negara Malaysia yang tercinta.
"Kita tidak akan benarkan politik
sedemikian...opportunistic politics (politik oportunis)...kita tak akan
benarkan kerana akhirnya akan menghancurkan segala-galanya yang telah dibina
Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika berucap pada sambutan
ulang tahun Umno ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam tadi.
Najib berkata jika bukan kerana isu
perkauman yang dimainkan pakatan pembangkang, beliau percaya BN mampu
memperoleh majoriti yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang berakhir
Ahad lepas.
Pada PRU13, BN memenangi 133 daripada
222 kerusi Parlimen dengan Umno kekal sebagai tonggak gabungan itu apabila
menyumbangkan 88 kerusi.
Perdana menteri berkata pencapaian
Umno pada pilihan raya umum kali ini adalah lebih baik berbanding 2008 meskipun
diasak dan diserang pelbagai tohmahan serta fitnah daripada pembangkang.
"Tapi, pada akhirnya rakyat
Malaysia telah membuat keputusan bahawa mereka ingin kepada kestabilan,
kesinambungan dan ingin melihat agenda pembangunan dan transformasi yang dibawa
BN diteruskan," katanya.
Sempena ulang tahun Umno ke-67 hari
ini, Najib mengajak pemimpin dan anggota Umno supaya bermuhasabah dan
menginsafi diri dengan memperbetulkan kelemahan bagi menarik semula sokongan
rakyat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Yang sokong, kita ucap terima
kasih. Yang tidak undi, kita tanya diri balik bagaimana pada pilihan raya umum
akan datang mereka boleh sokong kita.
"Jangan angkuh dan sombong. Kita
berjaya kerana rakyat suka, sokong dan percaya. Ingatkan diri sepanjang masa,
tak kira pemimpin besar atau akar umbi Umno bahawa kesudahannya rakyat yang
akan tentukan kelangsungan dan kekuasaan parti (Umno)," katanya.
Perdana Menteri mengingatkan anggota
Umno di semua peringkat supaya melaksanakan segala aku janji dan bersikap mesra
rakyat bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu dapat menyambut kejayaan
yang lebih besar pada lima tahun akan datang.
"Marilah kita semua berusaha
sebagai satu pasukan dalam satu ikatan perpaduan kukuh untuk memberi jaminan
kepada rakyat bahawa kita akan membawa Malaysia yang lebih aman, makmur dan
berjaya di bawah pimpinan Umno dan BN," katanya.
Najib turut menyifatkan Umno sebagai
sebuah institusi politik paling berjaya di dunia kerana selepas 67 tahun, parti
itu bersama rakan-rakan komponen dalam BN masih kekal mentadbir Malaysia.-
Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment