SEKOLAH SATU ALIRAN BOLEH KUKUH
PERPADUAN - AHLI AKADEMIK
KUALA LUMPUR:
Keputusan pilihan raya umum ke-13 yang mencetuskan semula isu integrasi
nasional telah menimbulkan desakan supaya sekolah-sekolah vernakular diubah
kepada sekolah satu aliran untuk memperkukuh perpaduan rakyat.
Seruan itu
dilontar ahli akademik yang berpendapat masalah perpaduan kaum di negara ini
berpunca daripada sistem persekolahan yang tidak selaras, dengan wujudnya
sekolah pelbagai aliran.
Pro-Canselor
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata
sekolah-sekolah vernakular di Malaysia berkembang lebih maju dan hanya 10
peratus bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan.
"Yang
lainnya di sekolah vernakular. Jelas bahawa perkauman berkembang dengan luas,
ia diteruskan dengan sekolah menengah swasta yang memfokus kepada sekolah
bahasa jenis kebangsaan," katanya pada majlis "Wacana Post Mortem
PRU13:Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' di sini, Ahad.
Beliau berkata
jika di zaman penjajahan British mereka melaksanakan konsep pecah dan perintah
mengenai pendidikan tetapi kini pendidikan "berpecah".
"Sekarang
jika dikatakan begitu ia akan dianggap tuduhan, tetapi jika kita benarkan lagi
sekolah seperti ini jangan lagi harap untuk bercakap mengenai perpaduan, ia
akan hanya disambut di mulut, tidak di hati," katanya.
Nada lebih
keras disuarakan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang mahu
sekolah jenis kebangsaan dihapuskan kerana ia tidak diiktiraf oleh
Perlembagaan.
"Sekolah
jenis kebangsaan (SJK) hanya memecahbelahkan rakyat. Patut sekarang ada sekolah
rendah kerajaan, sekolah menengah kerajaan. SJK yang ada sekarang ini ubah
kepada sekolah kerajaan.
"Semua
pelajar belajar di bilik darjah yang sama, makan di kantin yang sama, bermain
di gelanggang yang sama. Barulah boleh mengeratkan integrasi nasional,"
katanya.
Perkara itu
sepatutnya disokong oleh seluruh masyarakat Malaysia, katanya yang menyifatkan
mereka yang tidak bersetuju dengan sistem sekolah satu aliran sebagai
antiperpaduan.
Program
anjuran Pertubuhan Persatuan Alumni UiTM dan Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,000 peserta terdiri tokoh Melayu,
pensyarah, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), golongan profesional, korporat,
ahli politik dan golongan muda.
Bertujuan
membincangkan hala tuju politik untuk kepentingan survival ummah di Malaysia,
program itu turut disertai Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia
Prof Datuk Dr Kamaruddin Kacha dan bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin
Mat Isa dan anggota Himpunan Keilmuan Muslim Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
sebagai ahli panel. -BERNAMA/mStar Online
No comments:
Post a Comment