KUALA LUMPUR:
Polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak tegas terhadap Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganjurkan siri perhimpunan bagi
membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.
Naib Presiden
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata
ini kerana tindakan Anwar itu adalah penghinaan kepada rakyat Malaysia yang
memilih Barisan Nasional (BN) untuk terus berkuasa.
"SPR
perlu menyaman Anwar dan polis perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang
sedia ada terhadap Anwar kerana terus mempertikai keputusan PRU13.
"Cara
yang dia (Anwar) buat sekarang adalah menghina dan mengkhianati rakyat
Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Wacana
Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara pada
Ahad.
Pakatan
pembangkang mengadakan perhimpunan membantah keputusan PRU13 di Stadium Kelana Jaya,
Rabu lepas, semalam di Pulau Pinang, dan hari ini dilapor akan berbuat demikian
di Ipoh.
Zulkifli, yang
juga bekas Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, berkata siasatan suruhanjaya
khas berkaitan dalang insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah perlu
disegerakan bagi mengheret pihak terbabit ke muka pengadilan.
Beliau berkata
ini penting kerana terdapat dakwaan pemimpin pembangkang terbabit dalam isu
insiden itu, yang mengorbankan lapan anggota polis dan dua anggota tentera
terkorban selepas bertempur dengan musuh. BERNAMA/mStar
No comments:
Post a Comment