PASCA PRU13: MASIH JAUH PERJALANAN...
Walaupun menang dalam Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13), Barisan Nasional (BN) terpaksa akur ia masih tidak dapat
menarik nafas lega.
Hakikat yang harus diakui ialah
prestasi BN secara keseluruhannya merudum dan lebih sadis berbanding 2008.
Pada 2008, BN menang dengan 140
kerusi tetapi pada kali ini, jumlahnya menurun kepada 133 kerusi sahaja.
PRU12 vs PRU13
Pencapaian Datuk Seri Najib Razak
untuk pilihan raya umum pertama yang dikendalikannya nampaknya lebih teruk
berbanding zaman Pak Lah.
Paling tertekan tentunya MCA dan
Gerakan yang jauh ketinggalan di belakang sehingga membawa kepada desakan
pelbagai pihak supaya presiden parti masing-masing melepaskan jawatan.
MCA hanya menang tujuh daripada 37
kerusi yang ditandinginya. Gerakan pula hanya menang satu daripada 11 kerusi
yang ditandingi.
Prestasi menyedihkan yang seolah-olah
ditolak mentah-mentah oleh masyarat Cina di negara ini.
Ekoran kekalahan itu, Presiden MCA,
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bertegas bahawa parti itu sama sekali tidak akan
menghantar wakilnya dalam Kabinet kerajaan.
Kekalahan teruk pada PRU13 juga
membawa kepada peletakan jawatan kedua-dua presiden komponen utama BN itu. Satu
perkembangan besar dalam arena politik negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak dalam ucapannya ketika pengumuman PRU13 menyifatkan suatu 'perdamaian
kebangsaan' perlu dilakukan.
Menurut Najib, tsunami Cina telah
berlaku. Malah pengundi Cina juga disifatkan sudah termakan dengan
dakyah-dakyah pembangkang.
Slogan "Ubah" dikatakan
sudah memperdayakan kaum Cina di negara ini dengan cerita fantasi bahawa BN dapat ditumbangkan dan kerajaan
baru akan dibentuk.
Ironinya, ia tidakseperti yang
didendangkan selama ini.
BN berjaya membentuk semula kerajaan
namun dalam keadaan suasana politik yang semakin membarah.
Najib menggunakan istilah 'perdamaian
kebangsaan' dalam hasratnya memastikan kerukunan negara kembali utuh.
Wakil Cina perlu ada dalam Kabinet
Najib dalam menghormati semangat perpaduan itu.
Penganalisis berpandangan, ia tidak
patut sama sekali jika wakil pembangkang sepertimana yang dicadangkan bekas
Menteri Penerangan. Sementelah mereka juga menolak.
Golongan cendekiawan, profesional
Cina dicadangkan mewakili masyarakat itu jika wakil parti dalam kerajaan
menolak untuk berada dalam Kabinet Najib.
Seminggu selepas pilihan raya, belum
diketahui bila Najib akan membentuk barisan anggota Kabinetnya. Tarikh itu
masih kekal teka-teki.
Beberapa nama seperti Ahli Parlimen
Rembau, Khairy Jamaluddin dicadangkan supaya ia ditimbang untuk membarisi
senarai Kabinet Najib memandangkan prestasi Ketua Pemuda Umno itu.
Kekalutan Pakatan Rakyat
Ketika Najib sedang bergelut dalam
mengukuhkan kembali kerajaan pimpinannya, Pakatan Rakyat (PR) yang turut
tergugat dengan kalah di Kedah juga mungkin sedang memikirkan strategi terbaru
bagi menawan Putrajaya.
Walaupun sekali lagi berjaya
menafikan majoriti dua pertiga BN, PR yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP
masih lemah di beberapa sudut.
Masalah dalaman yang membelenggu
terdedah apabila semua negeri sudah mengangkat sumpah kecuali Selangor.
Konflik menteri besar Selangor
berlarutan sehingga seminggu selepas pilihan raya.
Malah antara punca pertama yang
disebut-sebut sebagai punca kekalahan Pas di Kedah adalah kerana masalah
dalaman parti itu.
Selangor juga akan begitu jika
masalah dalaman ini tidak dapat diatasi.
Pertelagahan di antara bekas menteri
besarnya dan exco kerajaan negeri menyebabkan urusan pentadbiran menjadi lemah
sehingga menjejaskan sokongan rakyat.
Bahkan sehingga ke hari ini PR masih
belum mengiktiraf keputusan PRU13.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim masih tegas mengatakan bahawa kemenangan PR sudah dirompak!
Tidak hairan mengapa selepas penat
menjelajah di seluruh Malaysia sebelum PRU13, usaha itu diteruskan kini
menerusi perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat: "Blackout 505".
Berbondong-bondong juga rakyat datang
"memeriahkan" himpunan ini. Sambutan diterima agak luar biasa.
Namun suatu persoalan menarik yang
dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali
"adakah kita hendak berhimpun
setiap hari, setiap minggu atau setiap bulan?"
Maka sebenarnya, episod politik
Malaysia selepas PRU13, masih jauh perjalanannya.
Kabinet baru, sidang Dewan Rakyat
penggal yang baru, menentukan barisan exco kerajaan negeri, transformasi yang
ingin dibawa, belanjawan baru dan banyak lagi.
Justeru kepada parti yang menang dan
menduduki kerusi kerajaan, yang kalah pula di pihak pembangkang, pasca PRU13
ini harus dilalui dengan penuh hemah dan maju ke hadapan untuk sebuah Malaysia
yang lebih baik.
Bentuklah segala dasar baik demi
keharmonian negara, jadilah kerajaan yang menyantuni rakyat dan kepada
pembangkang, jadilah penyemak imbang yang tidak membuta-tuli!
- Salmiah Druhamad Drahsin, Sinar Online
No comments:
Post a Comment