KADAR
GST 7 PERATUS LEBIH SESUAI
Kadar enam hingga tujuh peratus adalah
kadar yang lebih sesuai bagi Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang
dijangka akan dilaksanakan di Malaysia tidak lama lagi.
Pengarah Eksekutif Kanan
PricewaterhouseCoopers Malaysia, Wan Heng Choon berkata, kadar GST lebih tinggi
daripada empat peratus yang dicadangkan kerajaan akan menjadikan sistem cukai
lebih sama rata serta mengatasi masalah defisit negara.
“Kadar GST terlalu rendah tidak akan
memberi manfaat kepada negara. Mengikut pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa
(IMF), kadar GST kurang daripada 10 peratus tidak akan memberi pulangan jangka
panjang kepada negara,” katanya semasa bengkel penerangan GST kepada media di
Kuala Lumpur, semalam.
GST apabila dilaksanakan akan
menggantikan sistem cukai yang diguna pakai Malaysia kini, iaitu cukai jualan
dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan
tertentu pada kadar lima hingga 10 peratus.
Menurut Heng Choon, kadar GST yang
diperkenalkan kelak juga tidak semestinya tetap dan boleh dinaikkan atau
diturunkan mengikut keperluan perbelanjaan negara.
“Contohnya di United Kingdom (UK) semasa
krisis ekonomi melanda Eropah. UK mempunyai kadar GST 15 peratus selama
beberapa tahun tetapi apabila negara itu perlukan pendapatan lebih untuk atasi
masalah dalam ekonomi mereka, kadar itu dinaikkan kepada 17 peratus sebelum
diturunkan semula apabila ekonomi kembali stabil.
“Ini membuktikan GST lebih berkesan
dalam menjana pendapatan negara yang tidak lagi mampu diberikan melalui cukai
korporat dan pendapatan,” katanya.
Beliau juga menekankan pelaksanaan GST
jika difahami secara terperinci oleh orang ramai sepatutnya tidak akan membawa
kepada kenaikan harga barang tetapi ianya berkesan dalam menutup ketirisan
hasil kutipan cukai negara. –Sinar Harian
No comments:
Post a Comment