JANGAN
PANIK PENGURANGAN SUBSIDI - PDAM
KUALA LUMPUR - Rakyat diminta tidak
panik dan cepat melatah sebaliknya melihat dari konteks lebih luas berhubung
pengurangan subsidi minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen
Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, pengurangan subsidi itu
bukan bertujuan membebankan rakyat tetapi mengurangkan subsidi kepada golongan
berkemampuan.
Menurutnya, wang penjimatan itu kemudian
boleh disalurkan kerajaan membantu golongan miskin dalam pelbagai sektor lain.
''Kita menyambut baik pengurangan
subsidi itu kerana selama ini golongan berpendapatan tinggi yang menggunakan
petrol 500 liter sebulan turut menerima subsidi besar daripada penggunaan itu
berbanding rakyat yang menggunakannya 100 liter sebulan.
''Pengurangan subsidi itu boleh membantu
kerajaan menyimpan dan wang simpanan itu digunakan untuk membantu rakyat miskin
untuk lain-lain sektor termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Hashim, pengurangan subsidi itu
juga perlu dilihat dalam konteks kesejahteraan negara terutamanya dalam
mengekang isu penyeludupan minyak ke negara jiran.
Katanya, pengurangan jurang harga minyak
dengan negara jiran mampu membanteras 'perniagaan haram' melalui kegiatan
penyeludupan.
''Kita perlu lihat pengurangan ini mampu
mengekang isu penyeludupan minyak ke negara jiran.
''Terdapat pihak yang mengambil
kesempatan mengenai perkara ini dan 'membuat'' duit daripada pemberian subsidi
ke atas bahan api," katanya.
Hashim turut mengingatkan kerajaan
supaya tidak mengurangkan subsidi ke atas bahan api secara mendadak sebaliknya
dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment