PCA JAGA HAK ASASI
MAJORITI RAKYAT
KUALA LUMPUR - Dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya Rang
Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 meminggirkan
hak asasi manusia dibidas anggota Dewan Negara prokerajaan kerana hak asasi
majoriti rakyat untuk hidup aman damai juga perlu dipertahankan.
Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman menegaskan ini
termasuk hak mereka untuk hidup aman damai tanpa digugat oleh jenayah rompakan,
rogol, pembunuhan terancang dan kejadian tembak.
Beliau berkata rang undang-undang bagi meminda Akta
Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat itu digubal
kerana terdapat keperluan bagi mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah
terancang yang semakin meningkat.
"Tahun ini sahaja, terdapat 109 kes kejadian tembak
yang sedang dalam siasatan polis melibatkan 100 peratus kumpulan kongsi gelap.
Rakyat menyuarakan kegelisahan, maka kerajaan mengambil tindakan meminda PCA.
"Ada pihak menentang menggunakan alasan hak asasi
manusia. Tetapi, kadang kala kita lupa bahawa hak asasi manusia ialah untuk
setiap rakyat untuk hidup aman tanpa diganggu jenayah. Bagaimana pula hak asasi
mangsa dan ahli keluarga mangsa jenayah," soalnya ketika membahaskan rang
undang-undang itu di Dewan Negara hari ini.
Turut sependapat, Senator Datuk Chin Su Phin yang
menyifatkan isu keselamatan adalah isu bersama tanpa mengira kerajaan mahupun
pembangkang.
"Biar kita berbeza politik tetapi soal jenayah, jangan
berbeza pendapat. Ketepikan soal politik demi kesejahteraan rakyat dan
negara," ujarnya.
Senator Jamilah Sulaiman menyokong pindaan rang
undang-undang ini kerana ia memperuntukkan mekanisme terbaik untuk memelihara
keselamatan dan ketenteraman awam.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment