Showing posts with label PCA. Show all posts
Showing posts with label PCA. Show all posts

Wednesday, October 9, 2013

PCA JAGA HAK ASASI MAJORITI RAKYAT

KUALA LUMPUR - Dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 meminggirkan hak asasi manusia dibidas anggota Dewan Negara prokerajaan kerana hak asasi majoriti rakyat untuk hidup aman damai juga perlu dipertahankan. 

Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman menegaskan ini termasuk hak mereka untuk hidup aman damai tanpa digugat oleh jenayah rompakan, rogol, pembunuhan terancang dan kejadian tembak.

Beliau berkata rang undang-undang bagi meminda Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat itu digubal kerana terdapat keperluan bagi mengekang aktiviti jenayah berat dan jenayah terancang yang semakin meningkat.

"Tahun ini sahaja, terdapat 109 kes kejadian tembak yang sedang dalam siasatan polis melibatkan 100 peratus kumpulan kongsi gelap. Rakyat menyuarakan kegelisahan, maka kerajaan mengambil tindakan meminda PCA.

"Ada pihak menentang menggunakan alasan hak asasi manusia. Tetapi, kadang kala kita lupa bahawa hak asasi manusia ialah untuk setiap rakyat untuk hidup aman tanpa diganggu jenayah. Bagaimana pula hak asasi mangsa dan ahli keluarga mangsa jenayah," soalnya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini.

Turut sependapat, Senator Datuk Chin Su Phin yang menyifatkan isu keselamatan adalah isu bersama tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang.

"Biar kita berbeza politik tetapi soal jenayah, jangan berbeza pendapat. Ketepikan soal politik demi kesejahteraan rakyat dan negara," ujarnya.

Senator Jamilah Sulaiman menyokong pindaan rang undang-undang ini kerana ia memperuntukkan mekanisme terbaik untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.


Sumber: Sinar Harian

Monday, October 7, 2013

PCA: TAHAN TANPA BICARA TIDAK ISLAMIK -NURUL IZZAH

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan penahanan tanpa perbicaraan selama dua tahun yang dipinda dan diluluskan pada Akta Pencegahan Jenayah (PCA) sebagai tidak Islamik.
 
Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah diluluskan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

 Usaha wakil rakyat pembangkang untuk menggagalkan kelulusan rang undang-undang itu tidak berjaya apabila ia diluluskan dengan suara majoriti daripada penyokong kerajaan pada 12.50 malam.

Izzah menafikan penentangan itu demi kepentingan pembangkang semata-mata.

“Pada saya, ia bukan soal kami semata-mata, tapi soal kebenaran. Ini bukan soal nak selamatkan diri.

“Kadang-kadang kita berjuang menentang satu-satu rang udang-undang kerana ia sesuatu yang harus diperjuangkan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui, hari ini.

Mengulas lanjut soal itu, beliau turut menyentuh berhubung kebanyakan pemimpin pembangkang yang menjadi mangsa penahanan di bawah akta seperti ini.

 “Pertamanya, penahanan tanpa bicara, ini tidak Islamik. Nak banding dengan Amerika Syarikat (AS)? Yang mana kita benci, yang mana zalim. Sudah tentu kita tentang.

“Keduanya, kami bukan pengganas. Kami bukan 'geng-geng' yang buat jenayah. Kami bukannya penjenayah. Kenapa kami harus ditahan? Bukankah itu satu kezaliman? Saya tak faham logik itu,” katanya.

Tambahnya, “bukankah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) itu untuk menyelamatkan keadaan...katanya, dengan menangkap penjenayah yang tegar. Jadi, dimanakah konteks pembangkang itu diletakkan?”

Selain parti pembangkang, pindaan akta tersebut turut mendapat tentangan pertubuhan bukan kerajaan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).


Sumber: Sinar Harian

Friday, October 4, 2013

PCA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN PERANGI JENAYAH

KUCHING - Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam membuktikan komitmen tinggi kerajaan untuk memerangi jenayah berat di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penguatkuasaan undang-undang itu kelak dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap keselamatan mereka.

"Saya harap rakyat secara keseluruhannya akan menyokong akta ini yang sudah pasti dapat membantu dalam menangani masalah jenayah berat," katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama polis perlu dilengkapkan lagi dengan peralatan lebih canggih yang sekali gus boleh meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan itu.

"Pastikan juga polis mendapat peruntukan yang mencukupi untuk menggantikan kenderaan-kenderaan mereka yang sudah usang dan mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan tugas mereka," katanya. – Bernama


Sumber: Sinar Harian

Monday, September 30, 2013

NGO SERAH MEMORANDUM BANTAH PINDAAN PCA

SHAH ALAM - Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini, telah menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi bagi membantah pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959.

Menurut wakil jurucakap NGO terbabit, Fadiah Nadwa, pindaan akta tersebut seolah-olah mengembalikan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu menahan seseorang tanpa bicara.

 “Kenapa perlaksanaannya ingin dilaksanakan secara tergesa-gesa?

“Kami akan berjuang sehingga akta ini tidak dilaksanakan, kita tunggu apa maklum balas menteri, kalau tiada apa-apa tindakan kami akan terus berusaha untuk membantah perlaksanaannya,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.

Sementara itu, kira-kira 50 orang hadir untuk menyerahkan memorandum tersebut di bangunan Parlimen pada jam 12 tengah hari tadi.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali serta beberapa ahli Parlimen pembangkang dan Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pindaan ke atas akta tersebut yang dicadangkan kerajaan adalah lebih khusus untuk memerangi jenayah terancang.

Perdana Menteri turut berkata, ia bukan hendak mengembalikan ISA.

Najib berkata, ISA berbeza daripada PCA kerana ISA memberi kuasa begitu luas untuk menahan seseorang individu tanpa proses mahkamah sebaliknya kuasa itu diberikan kepada pihak polis dan Menteri Dalam Negeri.

"Tetapi kali ini (di bawah pindaan akta) keputusan akan dibuat oleh pihak hakim, jadi kalau polis menahan sesiapa, ia perlu menyakinkan pihak hakim bahawa individu tertentu ini perlu ditahan," kata Najib.


Sumber: Sinar Harian

Wednesday, September 25, 2013

NAFI PCA GANTI ISA
KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

"Tidaklah. Itu adalah pindaan selari, kerana apabila PCA 1969 dipinda, ia juga melibatkan 10 undang-undang lain.

"Oleh itu, pindaan selari dilakukakan supaya tak bercanggah dengan pindaan PCA ini," katanya.

Pada 3 September lalu, Ahmad Zahid mengumumkan draf pindaan PAC 1959 yang sedang dirangka akan memberikan kuasa yang lebih menyeluruh kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam aspek pencegahan jenayah.

Beliau berkata, draf berkenaan yang sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan dibentang di Parlimen bagi kelulusan dan turut dipastikan akan terpakai dan diamalkan di Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, ketika ditanya lanjut mengenai tarikh, Ahmad Zahid memberitahu, akta tersebut akan dibentangkan Isnin depan.

"Berilah saya bentang..Saya akan bentangkan pada 30 September ini.

"Saya akan menerima sebarang perbahasan...Nanti, tunggu perbahasan," katanya.

Beliau juga memberitahu,satu forum mengenai undang-undang dan tatacara pencegahan jenayah di Putrajaya.

"Pada 28 September nanti kita akan adakan forum dan kita jemput majlis peguam untuk bersama-sama dalam forum berkenaan dan kita minta mereka berikan pendapat," katanya.


Sumber: Sinar Harian