SHAH ALAM – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) percaya cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mampu mengelak ketirisan dalam perbelanjaan jabatan kerajaan atau syarikat.
Timbalan Presidennya, Muhammad Shaani Abdullah berkata, GST mengesan penyelewengan dan juga pembaziran dalam perbelanjaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
“Saya nampak GST ini memberi kesan yang positif kerana cukai ini boleh mengesan amalan tidak
baik dalam urus niaga. Kalau dahulu kita beli barang, contohnya jam, dengan
harga RM3,000 menggunakan resit. Cara itu tidak boleh dikesan.
“Jika sistem GST dilaksanakan, tidak akan ada ketirisan
dalam sistem perbelanjaan hasil kerajaan. Ini kerana harga sebenar sesuatu
barangan dapat dikesan dengan mudah. Saya juga yakin GST dapat mengubah amalan
perolehan awam,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kerajaan seharusnya melaksanakan GST seawal
mungkin untuk beri manfaat kepada negara dan rakyat.
“Saya lihat pelaksana GST dari sudut yang baik, iaitu kepada
individu atau syarikat yang mengelak membayar cukai sebelum terpaksa menunaikan
kewajipan mereka sama seperti masyarakat lain.
“Justeru, saya yakin GST adalah sistem cukai yang lebih
adil,” katanya.
Muhammad Shaani berkata, Fomca menyokong penuh pelaksanaan
GST, tetapi berharap kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara untuk
memastikan kebajikan pengguna terjamin.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap
peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga untuk mengaut
keuntungan berlebihan.
“Kerajaan harus menyediakan panduan pembeli untuk
memaklumkan kepada pengguna tentang kesan perubahan harga yang sebenar apabila
barang atau perkhidmatan tersebut dikenakan GST.
“Perlu diwujudkan pusat aduan bagi membolehkan pengguna
membuat aduan terhadap peniaga yang meletakkan harga barang atau perkhidmatan
melebihi daripada paras harga yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan bagi
mengelak peniaga mengaut keuntungan berlebihan.
Fomca mengesyorkan Akta Persaingan diluluskan dengan segera
untuk memastikan persaingan sihat dalam pasaran yang akan menguntungkan
pengguna, selain satu jaringan sosial telus dan komprehensif disediakan untuk
memastikan masyarakat miskin terbela.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment