ALOR SETAR - Sekumpulan individu yang dipercayai pengikut fahaman Syiah di negara ini sukar untuk kembali bertaubat.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pengikut Syiah taat dengan fahaman Syiah berkenaan berdasarkan pengalaman mengendalikan kes tersebut sebelum ini.
“Sebab itu usaha yang kita (Jabatan Mufti Kedah) buat di negeri ini
dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri adalah bukan untuk
menarik golongan Syiah itu kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi yang
kita fokus adalah supaya Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak menjadi Syiah.
“Kita tahu kalau kita nak tarik golongan Syiah ini kembali kepada Ahli
Sunnah Wal Jamaah memang susah. Kalau mereka yang masih baru terjebak dengan
fahaman itu, mungkin boleh kita buat dengan pemulihan akidah semula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Wacana Pemantapan
Akidah peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam, ketika
diminta mengulas sama ada pengikut fahaman Syiah di negara ini perlu bertaubat
seperti yang dilakukan oleh pengikut kumpulan Al-Arqam baru-baru ini.
“Orang Syiah ini seperti yang kita tahu, mereka mempunyai dana tertentu
dan mereka akan menggunakan dana yang ada pada mereka untuk menyebarkan fahaman
Syiah.
“Cuma ingin kita tegaskan supaya masyarakat dapat bersama membendung
perkara ini agar ia tidak mempengaruhi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang lain,
khususnya anak-anak muda di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi
(IPT),” katanya.
Laporan selanjutnya di: http://www.sinarharian.com.my/semasa/mufti-kedah-pengikut-syiah-sukar-taubat
No comments:
Post a Comment