PENGUAT KUASA JAIP DIBUNUH: JAMIL KHIR CADANG BEKAL SENJATA API KEPADA PENGUAT KUASA AGAMA
KUALA LUMPUR- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir
Baharom mencadangkan agar anggota penguat kuasa jabatan agama dibekalkan
senjata api ketika melakukan operasi.
Beliau juga menyarankan pasukan polis mempertingkat rondaan di kawasan
kediaman anggota penguat kuasa terbabit, terutama ketika hari cuti dan hujung
minggu.
Ini bagi mempertingkat aspek kawalan keselamatan pegawai berkenaan,
katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah Baitulmal
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada pelajar sekolah di kawasan
Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Saranan beliau itu susulan kejadian pembunuhan Ketua Penguatkuasa Agama
Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek, 49, kelmarin.
Dalam kejadian 1.55 petang itu, Ahmad Raffli maut akibat ditembak dari
jarak dekat oleh seorang daripada tiga lelaki yang datang berjumpanya di
kediaman beliau di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.
Media melaporkan Allahyarham terlibat dalam beberapa kes besar termasuk
memantau gerakan Syiah di Pahang serta ajaran sesat 'Tuhan Harun'.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata beliau akan memanjangkan cadangan
itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
Mengulas isu lain, beliau berkata setakat ini terdapat lapan kumpulan
ajaran sesat dikenal pasti aktif di seluruh negara.
"Tidak ramai pengikut mereka. Kita sentiasa cari. Mereka ini
seperti penyakit yang senyap-senyap berkembang," katanya yang tidak mahu
mendedahkan nama kumpulan terbabit.
"Kebanyakan ajaran sesat menggunakan pendekatan halus seperti
bergerak (menyampaikan ajaran) secara mulut ke mulut, mula dengan perwatakan
baik seperti bersongkok, ketayap sebelum mula menggerakkan ajaran sesat.
"Kita sukar hendak pantau. Beban membuktikan mereka terlibat juga
sukar dan memerlukan saksi dan penglibatan masyarakat," katanya.
Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Jamil Khir berkata Skim Bantuan
Pakaian Persekolahan membabitkan peruntukan RM3.7 juta itu untuk membantu
17,912 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah rendah agama di Wilayah
Persekutuan.
Sumber: Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment