GST: DAKWAAN PEMBANGKANG TAK BERASAS
KUALA LUMPUR - Dakwaan pembangkang mengenai perlaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan membebankan rakyat tidak berasas
dan hanya sekadar bersifat menentang
setiap rancangan kerajaan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah.
Beliau berkata dakwaan tersebut akan menjadi tidak relevan apabila cukai
tersebut dilaksanakan pada April 2015.
"Saya melihat peranan pembangkang ini hanya menentang
pembangunan dan rancangan oleh kerajaan yang mana akhirnya pembangunan ini
mendatangkan manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
"Mereka (pembangkang) menentang pembinaan Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lebuhraya Utara-Selatan, Putrajaya,
KLCC dan sebagainya.
Tapi sekarang, adakah mereka masih menetang projek-projek
ini?
"Jadi apa yang penting pada saya, jika dia
(pembangkang) mahu bising, bisinglah," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Seminar mengenai Wakaf anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di
sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
pelancaran sebuah buku oleh Pakatan Rakyat yang bertajuk "Faham GST, tolak
GST" yang dikhuatiri bakal mengelirukan rakyat mengenai perlaksanaan
sistem percukaian tersebut.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Husni
menyatakan rasa bimbangnya mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera yang masih
rendah, iaitu hanya pada tahap 23.5 peratus pada 2012.
Sehubungan itu, beliau menyeru para peserta seminar itu
mengambil peluang membincangkan beberapa
langkah berkaitan bangsa dan kaum Bumiputera dalam proses peralihan ekonomi
negara.
"Jika kita ingin pemilikan kekayaan Bumiputera mencecah
30 peratus, adalah perlu kadar peningkatan kekayaan Bumiputera berkembang lebih
laju dari kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara.
"Natijahnya, jika bangsa kita terlalu bergantung kepada
sektor kegiatan ekonomi bernilai rendah, di mana penciptaan kekayaannya kecil,
maka peningkatan kekayaan bangsa Melayu tidak mungkin tercapai," katanya.
Ahmad Husni turut menyaksikan majlis menandatangani
memorandum bagi Pusat Antarabangsa Untuk Penyelidikan Wakaf, bagi membangunkan
industri wakaf negara.
"Wakaf di negara kita memang tidak diekploitasi secara
keseluruhannya dan saya memang bersetuju kita wujudkan satu pusat penyelidikan
dan antara lain, kita perlu ada pangkalan data mengenai lokasi tanah-tanah
wakaf di Malaysia sekarang untuk perancangan pembangunannya.
"Kita juga mestilah memikirkan bagaimana untuk
mengadakan kolaborasi di antara negeri dan kerajaan pusat, disebabkan
tanah-tanah wakaf ini diletakkan di bawah kelolaan kerajaan negeri,"
katanya. – Bernama
Sumber: Bernama/Sinar Harian
No comments:
Post a Comment