KENAIKAN TOL , TARIF
ELEKTRIK DEMI MASA DEPAN
KOTA BHARU– Isu kenaikan tol dan tarif elektrik yang dilihat
kurang popular pada pandangan rakyat perlu dilaksanakan demi kepentingan negara
untuk jangka panjang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri
Mustapa Mohamed berkata, ia sudah dijangka kerana kerajaan perlu memikirkan
cara terbaik untuk kebaikan bersama dalam tempoh yang lama berbanding cadangan
kesan jangka pendek.
Menurutnya, kerajaan memahami isu dan tekanan yang dihadapi
rakyat dan cuba sedaya upaya membantu meringankan beban tersebut.
“Kerajaan sentiasa fikirkan dan mendahulukan rakyat dalam
segala hal, cuma tindakan kita dilihat tidak popular. Jadi orang ramai berfikir
negatif. Sememangnya perkara tersebut perlu dilaksanakan.
“Rakyat kena pilih sama ada hendak menikmati hidup senang
pada masa sekarang atau menghadapi masalah besar pada masa depan atau beransur
mengambil tindakan untuk pastikan keadaan ekonomi negara terjamin,”
katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kecemerlangan
Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), di sini, semalam.
Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata demikian
ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak ada berlaku krisis keyakinan
rakyat terhadap kerajaan kerana tidak mendahulukan mereka berikutan isu
tersebut.
Jika kerajaan mengambil tindakan populis sekalipun, katanya,
ia menggembirakan hati rakyat buat seketika sahaja, tetapi hakikatnya masa depan ekonomi negara
tergugat.
“Mereka kena ingat, nikmat tindakan tersebut hanya
sementara. Yang menjadi mangsa adalah masa depan generasi baru. Mereka yang
kena tanggung semua beban.
“Memang kita akan rasa selesa jika terus berhutang dan
subsidi ditambah tetapi apabila tiba zaman anak kita nanti pembayaran hutang
sudah tidak dapat dielak. Mereka yang akan kena tempiasnya,” ujarnya.
Beliau menasihatkan rakyat jangan terlalu bimbang kerana
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah berjanji akan memikirkan cara
bagaimana untuk meringankan beban mereka.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment